Tokoh Ma'al Hijrah: Niat saya hanya satu, nak uruskan jenazah sebaik mungkin - Penggali kubur
Hasimi Muhamad
Ogos 22, 2021 15:14 MYT
Ogos 22, 2021 15:14 MYT
GOMBAK: Pemergian isteri tercinta akibat kencing manis sejak 11 tahun lalu membawa jiwa Roslee Ali untuk setia di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini.
Bertitik tolak daripada pemergian Allahyarham Rosnah Ahmad, penerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan ini, mula mengabadikan dirinya untuk berbakti kepada masyarakat.
Bukan wang ringgit atau anugerah yang didambakan, namun yang dikejar ialah saham akhirat untuk bekalan pulang ke negeri abadi kelak.
Astro AWANI semalam berpeluang menyelusuri kisah hayunan tangan dan kudrat si penggali kubur, yang mungkin selama ini tidak didendangkan.
"Saya mula kerja kubur ini sejak arwah isteri saya meninggal, terus saya melekat menjadi penggali kubur," kata Roslee ketika ditanya kenapa dia memilih kerjaya ini.
STARS@AWANI | Harumnya bau si penggali kubur
"Terus terang saya cakap kalau saya nak hidup mewah, saya buat kerja perpaipan (kerja asal). Memang gaji saya lumayan. Tetapi saya memilih kerja kubur ini kerana tengah hari saya boleh balik rumah.
"Selain itu, lebih dekat untuk saya menziarah kubur arwah (isteri). Kalau saya buat kerja saya dulu, pergi pagi, balik pagi. Kalau tak, pergi pagi dan balik tengah malam," ceritanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.
Bagi bapa kepada enam cahaya mata ini, kekuatan kudrat dan kesihatannya adalah pinjaman Yang Maha Esa.
Dengan usia menjengah 63 tahun, Roslee bersama penggali kubur yang lain pernah menggali 40 liang lahad sehari.
Keringat yang dicurahkan hanya untuk memastikan sekujur badan disempurnakan sebaiknya menuju kampung abadi, kerana setiap orang tidak sama nasib di sana.
"Kekuatan saya dan niat saya hanya satu, bukan nak cari kemewahan di kubur ini, tetapi apabila ada di sini dan apabila saya bermain (menguruskan) dengan jenazah, saya nak selesaikan jenazah itu sebaik mungkin.
"Setiap pagi saya bangun dalam pukul 4 atau 5 pagi, saya mandi, dan selepas solat Subuh dalam fikiran saya satu sahaja, 'berapa pula jenazah hari ini yang saya nak hadap'," ujar Roslee.
Pengalaman Menggali Kubur
Setiap pukul 7 pagi, Roslee akan memulakan rutin untuk menggali lubang kubur.
Namun, pada satu malam tahun lalu, selepas solat Isyak, Roslee menerima panggilan telefon pertama untuk menguruskan jenazah COVID-19.
Ketika itu, dia akui, jiwanya tersentuh meskipun sudah lali dengan pengurusan jenazah.
"Lama-lama saya fikir, niat nak tolong orang, terpaksa juga buat sebaik mungkin.
"Alhamdulillah (selepas) hampir setahun setengah, saya rasa diri saya tak ada apa (dijangkiti COVID-19). Mungkin Tuhan melindungi saya," luahnya menzahirkan rasa syukur.
Bercerita lebih lanjut, Roslee berkata sepanjang bergelar penggali kubur sejak 2011, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah keadaan tanah yang berbatu dan cuaca.
Sejak pandemik COVID-19 melanda, dia berkata, cabaran tersebut sedikit berbeza kerana memerlukan mereka yang menguruskan jenazah memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE).
"Sejak COVID-19, tengah hari saya tak pernah balik rumah sebab saya ada anak dan cucu. Apabila balik pada petang, saya mandi dan berkurung dalam bilik. Sampai pukul 8 lebih, cucu ketuk pintu untuk panggil makan.
"Selepas itu, saya masuk bilik dan tidak bergaul dengan anak-anak. Alhamdulillah, dua atau tiga minggu lepas, anak saya telah buat ujian saringan dan dia tiada masalah (negatif), bermakna saya juga baik," katanya.
Ditanya bagaimana rasanya di dalam PPE, Roslee menyifatkan ia sebagai satu 'penyiksaan'.
"(Saiz seluar) saya daripada 36, sekarang tinggal 33. Dah susut badan saya. Memakai PPE khususnya dalam cuaca macam ini (panas), ia seperti kita mandi hujan. Basah. Dan nafas kita tak cukup," ujarnya.
Sejak peningkatan kes kematian COVID-19, Roslee berkata, jentera digunakan untuk menggali lubang kubur.
Namun, bagi pengurusan jenazah lain, kebanyakannya memerlukan Roslee menggali liang lahad menggunakan cangkul.
"Pukul 2 petang kita sudah mula pakai PPE, sampai habis menguruskan jenazah COVID-19. Kalau jenazah cepat dibawa ke tanah perkuburan, cepatlah habis (mengebumikan). Namun, kadang kala ada yang tergendala, kita terpaksa menunggu," kongsinya lagi.
Anugerah Tokoh Frontliner
Bagi Roslee, dia tidak pernah menyangka akan menerima penghargaan bagi Anugerah Tokoh Frontliner, yang merupakan kategori baharu diperkenalkan tahun ini.
Selain Roslee, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut memberikan anugerah khas tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.
Bagi Anugerah Tokoh Korporat, ia dirangkul Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni manakala pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif.
"Maklumlah kita tak berpelajaran tinggi, sekolah pun setakat darjah enam sahaja... tahu-tahu saya boleh dapat benda (anugerah) macam ini.
"Pada saya anugerah yang saya dapat ini bukan untuk diri saya, saya cuma mewakili petugas barisan hadapan untuk anugerah ini. Kalau saya seorang, apa mampu saya buat?
"Kerjasama kawan-kawan membolehkan jenazah COVID-19 diuruskan sebaik mungkin termasuk penglibatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM), sukarelawan serta Jawi," katanya.
Berdasarkan rekod Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, sebanyak 3,011 jenazah COVID-19 diuruskan oleh jabatan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Daripada jumlah tersebut, 1,660 adalah jenazah lelaki manakala 1,351 lagi jenazah wanita.
Temu bual penuh kisah 'Harumnya Bau Si Penggali Kubur' akan disiarkan dalam program STARS@AWANI, pada 22 Ogos ini.
#Kisah penggali kubur
#Penggali kubur tokoh Ma'al Hijrah
#Penggali kubur COVID-19
#Roslee Ali
#Anugerah Khas Frontliner
#Stars AWANI
#kematian COVID-19
#Pengalaman penggali kubur
#Covid-19 Malaysia
#berita hari ini