Tokoh kewartawanan Said Zahari meninggal dunia
Hans Yusoff
April 12, 2016 15:47 MYT
April 12, 2016 15:47 MYT
Tokoh kewartawanan, Said Zahari meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari Selasa pada usia 88 tahun.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Norman Said melalui satu tulisan di Facebook.
"Innalillah. Ayah saya, Said Zahari, telah kembali ke rahmatullah pukul 12.30 tengahari tadi," tulis Norman.
Allahyarham merupakan tokoh wartawan disegani ramai berdasarkan perjuangan menentang penguasaan British di Tanah Melayu melalui penulisan-penulisannya.
Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun ketika Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri negara tersebut.
Selain itu Said juga dikenali kerana memimpin wartawan Utusan Melayu melakukan mogok terhadap pentadbiran akhbar itu pada tahun 1961 kerana membantah usaha parti politik menguasai akhbar itu.
Penulisan Allahyarham juga sentiasa menitik beratkan perjuangan rakyat malah menekankan kepentingan bagi memartabatkan sejarah.
Allahyarham pernah dilantik sebagai pengerusi Parti Rakyat Singapura.
Antara tokoh penulisan yang diminati Allahyarham termasuk Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.