Tokoh agama terkenal India sertai Persidangan Ketua-Ketua Agama di Kuala Lumpur
Bernama
Mei 6, 2024 18:30 MYT
Mei 6, 2024 18:30 MYT
NEW DELHI: Cendekiawan terkenal India dan penjaga 'Makam Sufi Ajmer', Syed Salman Chishty akan menyertai Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Malaysia menganjurkan acara itu dengan kerjasama Liga Dunia Islam (MWL) yang berpangkalan di Mekah.
Kira-kira 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara dijangka menyertai persidangan itu yang bertujuan untuk memupuk dialog, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan komuniti agama yang pelbagai.
Salman Chishty ialah ketua pertubuhan bukan kerajaan 'Chishty Foundation'.
Dalam satu kenyataan, MWL berkata Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia bertajuk "Menggalakkan Keharmonian Antara Agama Dalam Kalangan Penganutnya" merupakan platform bagi membincangkan beberapa tema berkaitan kemajmukan, toleransi, kesederhanaan, pendidikan, membina jambatan hubungan dan persamaan inklusif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan itu esok, yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung MWL dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.
-- BERNAMA