Mesra dipanggil Tokwan, Shaari berkongsi dengan Bernama kehidupan remajanya ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, apabila anak lelaki sepertinya ketika itu berisiko ditangkap askar penjajah tersebut, untuk dijadikan buruh paksa.
Bercerita mengenai pengalaman yang dilaluinya ketika itu, dia yang berusia belasan tahun, setiap pagi selepas Subuh akan disuruh oleh kedua ibu bapanya bersiap untuk bersembunyi ke dalam hutan atau di tepi sungai.
"Tokwan tak tau la depa (askar Jepun) bawa pergi budak-budak ni ke mana, yang tau depa kata kena buat kerja berat, yang kena tangkap tu ada yang balik, ada yang pi tak balik dah, meninggal dunia di sana la.
"Jadi Tokwan dengan kawan-kawan ni bila Subuh ja, mak ayah suruh kami bersiap pi masuk sembunyi dalam hutan, tepi sungai. Mak siap la bekal nasi. Dah malam baru berani balik ke rumah, tapi esok pi sembunyi lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Merah di sini.
Walaupun berusia lanjut, Tokwan yang kelihatan sihat tanpa sebarang penyakit kronik masih mampu mengingati peristiwa lebih 80 tahun itu dengan jelas, malah beliau turut berkongsi ketika kali pertama melihat kapal terbang tentera Jepun di udara dan bunyi tembakan yang begitu jelas kedengaran, berikutan kedudukan kampungnya yang dekat dengan lapangan terbang di Kepala Batas, dekat sini.
Selain kapal terbang yang banyak Tokwan Shaari berkata askar Jepun juga sering dilihat menaiki basikal dalam kumpulan yang besar masuk kampung.
"Jepun ni berani sungguh, depa bawak kapal terbang menjunam, sampai dekat lapangan terbang, depa bom tangki minyak di situ, meletup habis. Orang putih (British) tak boleh nak bawak kapal terbang la dah tangki tu meletup.
"Tempat kita ni (kampung) kan dekat sempadan Siam (Thailand), depa lah buka jalan bagi Jepun masuk. Masa tu banyak la askar Jepun masuk kot jalan besar tu. Banyak jugalah kubu orang putih buat dekat kawasan ni, sampai la ni ada lagi kubu-kubu tu," katanya.
Tokwan yang kini mempunyai lima anak, 17 cucu serta 17 cicit itu berkata setiap hari askar Jepun akan berkeliaran di kawasan kampung untuk merampas makanan seperti ayam yang dibela penduduk, kelapa atau buah-buahan.
"Ketika bersembunyi di hutan, mak pernah cerita askar Jepun ada datang ke rumah dan paksa ayah panjat pokok kelapa, sementara mereka masuk dan tidur di dalam rumah.
"Kalau tak boleh naik (panjat) pokok, kena tikam dengan benet yang dia ikat kat senapang tu la... Tapi mujurlah ayah pakcik memang pandai naik pokok, selamatlah dia. Ada yang tak pandai tu memang cedera habis la," katanya yang turut berharap rakyat di negara ini sentiasa bersyukur dan mempertahankan kemerdekaan negara, kerana kesan penjajahan bukan sahaja menghancurkan negara tetapi juga rakyat yang turut menderita.
Sementara itu anak perempuannya, Fatimah Shaari, 69, berkata kesukaran hidup orang-orang dahulu tidaklah terhenti apabila laungan kemerdekaan bergema pada 31 Ogos 1957, malah keadaan itu berterusan agak lama susulan perkembangan kemajuan pada masa itu agak perlahan.
"Nak ke sekolah pun susah, jauh sangat dan perlu lalu jalan berlumpur dalam estet dan sawah, kasut kena bungkus dalam plastik, berkaki ayam sampai sekolah. Buat macam tu sebab tak mau kasut kotor, dah cuci kaki baru pakai balik kasut.
"Tapi masa tu semua anak-anak bersemangat pergi sekolah, boleh kata semua budak kampung pi sekolah walaupun jauh. Sebelah malam pula kami ada kelas tambahan Matematik dan bahasa Inggeris. Jalan kaki dalam kelam malam dalam kebun, tak rasa takut apa, semangat nak belajar. Kelas pun tak ada elektrik, pakai pelita saja," katanya.
Oleh itu Fatimah berkata beliau sangat bersetuju dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang mengupas tentang semangat jiwa merdeka, kerana dengan semangat itulah rakyat akan berusaha meningkatkan diri, keluar daripada kemiskinan dan bersama memajukan negara.
-- BERNAMA