Tok Pa sah bertanding MT UMNO Oktober depan

Astro Awani
Ogos 6, 2013 08:15 MYT
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed mengesahkan beliau akan mempertahankan Jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) yang disandangnya sejak dari tahun 2000 hingga sekarang pada pemilihan Oktober depan.
Beliau menjelaskan beliau hanya berminat untuk bertanding jawatan tersebut dan tidak berhasrat untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding majlis tertinggi dan tidak lebih dari itu. Saya bersyukur dengan apa yang ada setakat ini kecuali kalau ada apa-apa hal luar jangkaan, setakat ini saya akan mempertahankan majlis tertinggi,” kata belaiu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan di sini malam tadi.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mustapha menjelaskan kerajaan masih mempunyai waktu untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum sebarang keputusan di buat samada menyertai atau sebaliknya Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.
Katanya dalam pertemuan bersama lebih 500 wakil dari semua agensi, ketua jabatan dan usahawan dalam negara Khamis lalu, banyak informasi yang berguna yang boleh dijadikan sandaran.
Katanya kerajaan masih membuka ruang untuk semua pihak mengemukakan pandangan yang kelak akan dijadikan kayu pengukur dalam membuat keputusan.
Katanya kebimbangan yang disuarakan pihak terlibat ada asasnya dan berguna namun kerajaan lebih menimbang mengenai kepentingan negara.
“Jadi tidak ada satu pun yang dimuktamadkan jadi maklumbalas yang saya terima itu amat berguna kepada kumpulan kerja yang ditugaskan,” tambah beliau.
Katanya dalam pertemuan itu terdapat juga jurang komunikasi yang perlu diperbaiki supaya semua pihak dapat memahaminya.
Sambil memberi jaminan bahawa semua pandangan itu di ambil serius, Mustapha menjelaskan, pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak akan diteruskan.
#bertanding #Mustapha Mohamed #TPPA #UMNO