Tok Pa minta semua pihak akur pucuk pimpinan parti
Astro Awani
Mei 13, 2014 07:33 MYT
Mei 13, 2014 07:33 MYT
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed meminta semua pimpinan UMNO Terengganu patuh dan akur kepada sebarang keputusan yang di buat pucuk pimpinan parti.
Katanya sebagai ahli parti, perlu setia walau apa jua keadaan kerana sebarang jawatan yang disandang dan dilantik adalah terletak kepada keputusan presiden parti.
“Kita sebagai ahli parti harus akur kepada keputusan pucuk pimpinan kedudukan kita kalau saya selaku pengerusi badan perhubungan dan selaku menteri adalah terletak kepada presiden parti. Jawatan saya dapat dilucutkan bila-bila masa maka kita sebagai pemimpin kena akur kepada pucuk pimpinan kesetiaan itu penting” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pengamal media maya, bloggers dan Facebooker di sini malam Selasa.
Mustapha yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan banyak agenda pembangunan masih belum diselesaikan di Terengganu dan memerlukan perhatian dan kerjasama semua pemimpin di sana untuk meneruskan agenda berkenaan.
Mengakui Terengganu sebagai kubu kuat UMNO, kemelut politik di sana akan menghakis kepercayaan rakyat dan perkara ini harus di perbaiki dengan segera.
Katanya beliau percaya presiden parti mempunyai pertimbangan sewajarnya sebelum keputusan tersebut di buat.
Sebagai ahli parti sebarang keputusan hendaklah diterima dengan hati terbuka kerana perjuangan UMNO adalah untuk bangsa dan agama dan bukannya kepentingan peribadi.
Terengganu menjadi tumpuan selepas Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Kijal), meletak jawatan sebagai Menteri Besar disusuli majlis angkat sumpah ADUN Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baharu pada Isnin.
Susulan perkembangan itu, Ahmad, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi wakil Bebas.
Bagaimanapun, Roslee menarik kembali surat keluar daripada UMNO pada petang Selasa dan kembali menjadi wakil rakyat BN menjadikan BN kini memegang 16 kerusi termasuk kerusi Speaker manakala PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).