Tok Mun patuh SOP PKP, berhasrat tanding PRU15
Bernama
Jun 23, 2021 13:24 MYT
Jun 23, 2021 13:24 MYT
KUALA TERENGGANU: Mungkin ramai yang masih ingat tentang Maimun Yusof yang pernah menjadi calon pilihan raya umum (PRU) tertua di negara ini, dan kini pada usia 102 tahun, warga emas yang lebih mesra dipanggil Tok Mun itu sedar tentang bahaya COVID-19.
Katanya, dia akur dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa dengan mengelak keluar rumah sekiranya tidak ada kepentingan.
"Tok memang duduk di rumah saja, tapi jualan keropok keping menurun sedikit sebab tak boleh jual tempat jauh... banyak sekatan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Atas Tol di sini.
Pada PRU12 (2008), Tok Mun yang ketika itu berusia 88 tahun, bertanding buat pertama kali sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan meraih perhatian media antarabangsa kerana mencabar calon kuat Pas Mohamad Sabu dan Barisan Nasional (BN) (Allahyarham) Datuk Razali Ismail.
Dia yang kalah teruk hingga hilang wang deposit, sekali lagi bertanding pada PRU13 juga di kerusi parlimen sama, mencabar calon BN Datuk Mohd Zubir Embong dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mewakili Pas ketika itu. Sekali lagi warga emas itu hilang wang deposit.
Ditanya sama ada dia masih berhasrat bertanding pada PRU akan datang, Tok Mun yang kini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain menjual keropok keping bagi menampung kehidupan, berkata hasratnya untuk menjadi wakil rakyat masih ada.
"Baru-baru ni, ada orang kabor (beritahu) suruh tok siap sedia jadi calon sebab tak lama dah nak pilihan raya, tapi tok kabor tak dok pitih (tiada duit)... tengoklah nanti guaner (tengoklah nanti macam mana), kalau ada duit tok masuk tanding calon bebas pakai logo istana," katanya.
-- BERNAMA