Tok Manaf selamat kembali, bil perubatan di Korea Selatan cecah RM1.3 juta

Bernama
Disember 29, 2017 23:20 MYT
Abdul Manaf Mohd Noh atau Tok Manaf yang menjalani pembedahan jantung terbuka di sebuah hospital di Seoul, Korea Selatan pada 4 Dis lalu ketika sedang bercuti di negara itu, selamat tiba di Malaysia hari ini. -Foto Mariam Becker
Abdul Manaf Mohd Noh atau Tok Manaf yang menjalani pembedahan jantung terbuka di sebuah hospital di Seoul, Korea Selatan pada 4 Dis lalu ketika sedang bercuti di negara itu, selamat tiba di Malaysia hari ini.
Dalam satu kenyataan di sini, anaknya Mahfiz Abdul Manaf yang turut sama dalam percutian itu, berkata ayahnya dibawa ke Hospital Serdang sejurus tiba di tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kisah warga emas berusia 81 tahun itu viral di laman media sosial apabila dia terkandas di sebuah hospital di Korea Selatan setelah bil hospitalnya meningkat di luar kawalan selepas menjalani pembedahan tersebut.
Menurut Mahfiz, anggota keluarganya telah menggabungkan semua sumber kewangan yang ada selain turut mengambil pinjaman peribadi untuk membayar sepenuhnya bil tersebut sebelum ayahnya dibenarkan dibawa keluar dari hospital.
Rawatan selama 24 hari di hospital tersebut dan segala urusan untuk membawa Tok Manaf pulang menelan belanja kira-kira RM1.3 juta, katanya.
"Bil hospital telah dibayar sepenuhnya menggunakan sumber kewangan daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, pinjaman peribadi, badan amal serta sumbangan orang ramai," katanya.
Sehubungan itu, Mahfiz berkata kutipan sumbangan (kewangan) daripada orang ramai ditutup serta-merta memandangkan ayahnya telah selamat pulang ke Malaysia.
-- BERNAMA
#Abdul Manaf Mohd Noh #Hospital Serdang #Mahfiz Abdul Manaf #pembedahan jantung terbuka #Tok Manaf
;