Tok Batin, Penghulu Orang Asli terima one-off RM1,000
Bernama
Oktober 17, 2022 14:41 MYT
Oktober 17, 2022 14:41 MYT
TAPAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian one-off atau sekali beri sebanyak RM1,000 kepada setiap Tok Batin atau Penghulu komuniti Orang Asli di seluruh negara.
Beliau berkata, pemberian yang melibatkan peruntukan RM624,000 itu sebagai tanda penghargaan kerajaan Keluarga Malaysia atas jasa dan tenaga Tok Batin serta Penghulu dalam pembangunan dan adat warisan masyarakat Orang Asli.
"Ini juga membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia," katanya pada program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Peserta Felcra, Pekebun Kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menghargai peranan dan kerja keras Tok Batin dan Penghulu dalam memastikan pentadbiran peringkat kampung Orang Asli berjalan lancar.
Menyedari kepentingan institusi itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 Tok Batin atau Penghulu.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan memperuntukkan RM2.7 juta dalam Bajet 2023 bagi membangunkan ekonomi golongan belia dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Ismail Sabri berkata, kerajaan pimpinannya akan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli jika terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan terus berjuang untuk menyelesaikan beberapa masalah komuniti itu termasuk isu tanah. - BERNAMA