Tohmahan pihak Siti Bainun kes abai, aniaya Bella tanpa asas - Mahkamah

Sinar Harian
September 9, 2024 16:08 MYT
Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mendapati dia kekal bersalah dan menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini berpandangan bahawa terdapat tohmahan yang tidak berasas oleh pihak Siti Bainun Ahd Razali terhadap Hakim Mahkamah Sesyen yang mengadili kes mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella pada 2021 lalu.
Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik di sistem kehakiman, Hakim, Datuk Noorin Badaruddin berkata, tohmahan itu dibuat pembelaan Siti Bainun selaku perayu, ditujukan kepada Hakim, Izralizam Sanusi dalam hujahan bertulis.
Katanya, hujahan pembelaan Pengasas Rumah Bonda yang menyatakan, hakim mahkamah rendah menokok tambah fakta, menyembunyikan keterangan, berat sebelah dan hanya memilih keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi.
Bagaimanapun katanya, pendakwaan pula menghujahkan, pihak perayu tidak pernah membuat permohonan untuk membandingkan nota prosiding terdahulu.
“Mahkamah ini memandang serius dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan tiada bukti terhadap seorang hakim.
“Tiada keadaan dan asas yang ditunjukkan oleh pihak perayu, mewajarkan dakwaan terhadap hakim yang membuat keputusan mengikut undang-undang,” kata hakim Mahkamah Tinggi itu.
Sebaliknya, Noorin berkata, hakim mahkamah rendah telah membuat dapatan dan penemuan berdasarkan keterangan yang relevan dan tiada keadaan atau fakta yang menunjukkan beliau telah membuat keputusan berdasarkan faktor luaran.
Mahkamah mendapati, isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak perayu merupakan perkara yang tidak dapat menjejaskan bukti yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.
Selain itu katanya, pendakwaan telah mengemukakan ‘saksi mata’ yang telah melihat kejadian termasuk saksi perubatan dan pakar yang menyokong kejadian pengabaian serta penganiayaan terhadap mangsa.
Menurutnya, hakim mahkamah sesyen tidak terkhilaf apabila mendapati elemen pertuduhan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan perayu.
Susulan itu beliau berkata, berdasarkan keseluruhan keterangan, ia menjuruskan kepada perayulah orang yang telah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi remaja istimewa itu.
Sebelum ini, Noorin berkata, pihak pembelaan mempertikaikan keterangan saksi pendakwaan (SP) kelima, penghuni Kondominium Irama Wangsa, Yasmin Nahar Mahmood dan SP8, rakan perayu, Suhana Zam.
Bagaimanapun katanya, mahkamah mendapati sukar untuk membuat dapatan, bahawa dua saksi tersebut telah mereka-reka cerita terhadap Siti Bainun.
“Ini kerana keterangan mereka disokong oleh keterangan perubatan yang merupakan bukti yang secara konsisten, mendapati kecederaan dialami oleh mangsa bukan satu kemalangan,” katanya.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 25 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas satu lagi pertuduhan menganiaya remaja sama.
Pada 3 Mei 2023, wanita yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan itu dihukum penjara 12 tahun kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan berkenaan dan mengarahkan dia menjalani hukuman serta-merta selepas menolak permohonan penangguhan hukuman.
Tertuduh juga perlu menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman, selain melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.
Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mendapati dia kekal bersalah dan menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membolehkan demikian. -- Sinar Harian
#Siti Bainun Ahd Razali #tohmahan terhadap hakim #kanak-kanak perempuan Sindrom Down #Bella
;