TnG Digital akan wajibkan pengesahan eKYC untuk semua pengguna menjelang hujung 2024

Amanz
Februari 29, 2024 12:32 MYT
Proses eKYC akan diwajibkan untuk semua pengguna lama dan baharu TnG eWallet menjelang suku ketiga dan keempat pada tahun ini (2024). -Amanz
SISTEM eKYC ataupun electronic Know Your Customer ialah proses verifikasi pelanggan yang dilakukan secara digital, dan Touch’n’Go Digital, melalui produk TnG eWallet mereka telah mengumumkan bahawa mereka akan melaksanakan eKYC untuk semua pelanggan baru dan lama mereka menjelang suku keempat 2024.
CEO TnG Digital Alan Ni hari ini mengumumkan di sebuah acara media bahawa 77 peratus daripada pelanggan sedia ada telahpun melakukan pengesahan eKYC untuk memastikan akaun mereka selamat dan membolehkan TnG Digital untuk membantu para pelanggan dari segi isu-isu seperti penipuan kewangan dan sebagainya.
Beliau mengatakan lagi bahawa TnG eWallet akan menghantar peringatan kepada para pengguna mereka yang belum lagi melakukan verifikasi eKYC untuk melakukannya, dan mengatakan bahawa proses eKYC ini akan diwajibkan untuk semua pengguna lama dan baharu TnG eWallet menjelang suku ketiga dan keempat pada tahun ini (2024).
Untuk para pengguna yang tidak melakukan pengesahan eKYC selepas tarikh tertentu yang akan diumumkan kelak, Alan mengatakan bahawa akaun TnG eWallet yang tidak disahkan akan ditutup, tetapi hanya setelah beberapa peringatan diberikan untuk melakukan pengesahan tersebut, ataupun untuk mengosongkan akaun dompet digital mereka.
Apabila ditanya mengapa perkara ini dilakukan, Alan mengatakan bahawa ini adalah untuk mengurangkan lagi kadar penipuan transaksi digital, dan dengan pengesahan eKYC, ia adalah lebih mudah untuk TnG Digital membantu pengguna mereka sekiranya akaun mereka dikompromi.
Setakat ini, satu-satunya kenyataan yang diberikan mengenai bilakah proses pengesahan eKYC mandatori ini akan diimplimentasi ialah pada suku ketiga ataupun keempat tahun ini. -Amanz
#eKYC #Electronic Know Your Customer #Touch n Go Digital #TnG eWallet
;