TNB tumpu empat aspek sokong Pelan Pemulihan Negara

Ehsan A Marisah
Jun 16, 2021 18:54 MYT
Baharin berkata, TNB komited membantu usaha kerajaan bagi menangani kesan COVID-19, memberi sokongan dan kerjasama bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara.
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi sebagai langkah menyokong Pelan Pemulihan Negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din berkata syarikat itu jkomited dalam membantu kerajaan mengatasi kesan krisis pandemik COVID-19 dan menyokong pelan tersebut, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Katanya kesan positif daripada empat aspek tumpuan ini menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan pandemik COVID-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.
“Kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Baharin menambah, bagi mempercepatkan imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, langkah-langkah perlu diambil termasuk menawarkan premis sebagai pusat pemberian vaksin.
Ia juga sebagai inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital.
Tambah beliau lagi, bantuan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela diperluas dengan peruntukan hampir 9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga.
“Pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir 7 juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.
“Selain itu, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelangan dari enam sektor terpilih di bawah pakej PEMERKASA telah dilanjutkan sehingga akhir September,” katanya.
TNB juga katanya turut berperanan dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan akan menjadi lebih ketara dalam fasa-fasa akhir Pelan Pemulihan Negara.
“Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional.
Usaha ini disokong oleh program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula bagi menyokong pewujudan peluang pekerjaan baharu dalam industri,” ujarnya.
Sementara itu, RM7 bilion telah dilaburkan TNB dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020.
Ia termasuk satu inisiatif latihan kemahiran semula diterajui pusat latihan TNB dan ILSAS bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.
“Inisiatif-inisiatif berwawasan ini dilakukan bagi memastikan TNB dapat berterusan meletakkan negara dan rakyat dalam kedudukan yang baik dalam usaha untuk mempercepatkan usaha pemulihan.
“Bagi TNB, peranan kami untuk menyokong pertumbuhan ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2024 akan bertumpu kepada memastikan sistem rangkaian bekalan yang kukuh dan selamat; memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan berubah; serta menyokong proses peralihan tenaga negara, dengan cadangan nilai pelaburan berjumlah RM24 bilion,” ujarnya lagi.
#TNB #Tenaga Nasional Berhad #Pelan Pemulihan Negara #Perdana Menteri #Tan Sri Muhyiddin Yassin #COVID-19 #PKP #PPV #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #golongan rentan #bil elektrik #Baharin Din
;