TNB sokong subsidi bersasar bantu rakyat yang memerlukan

Bernama
Mei 18, 2023 06:15 MYT
TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mengurus tarif mengikut mekanisme ICPT sambil mengimbangi keperluan tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Khamis menyatakan sokongannya terhadap pemberian subsidi bersasar demi membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara selain dapat meringankan tekanan kos ke atas golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pada akhir 2022, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan skim subsidi elektrik bersasar untuk pengguna domestik bagi terus menikmati rebat tarif bil elektrik serta tidak menaikkan surcaj untuk kumpulan perniagaan kecil dan industri terpilih.
Sejajar itu, TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mengurus tarif mengikut mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sambil mengimbangi keperluan tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi.
"Sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin, TNB memahami keperluan membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
"Pada masa sama, kami juga meneruskan usaha berkongsi kemakmuran dengan masyarakat menerusi inisiatif pendidikan dan sosioekonomi yang berkesan," katanya dalam satu kenyataan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB kali ke-33 di sini, pada Khamis.
Abdul Razak berkata, di tengah-tengah harga bahan api yang tinggi sejak 2022 dan pemulihan ekonomi memberangsangkan, TNB kekal teguh dengan komitmennya untuk memenuhi keperluan tenaga pelanggan industri, komersial dan kediaman selain membantu mengemudi perjalanan Malaysia ke arah peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
"Pelaburan besar yang kami lakukan bagi mempelbagaikan sumber tenaga serta mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (TBB) selama ini, telah membolehkan TNB untuk terus menyediakan tenaga berdaya harap dan mampan.
"Usaha ini diiktiraf oleh pelanggan menerusi prestasi konsisten selama dua tahun berturut-turut dalam skor Indeks Kepuasan Pelanggan kami dengan 87 peratus pada 2022," katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, ketika kemuncak krisis tenaga global pada tahun lepas, harga arang batu dan gas mencecah paras tertinggi dengan peningkatan masing-masing sebanyak 83 peratus dan 11 peratus tahun ke tahun.
"Di peringkat domestik, Malaysia turut tidak terlepas daripada kenaikan harga bahan api yang memberi kesan besar kepada kos penjanaan elektrik," katanya.
Baharin berkata, walaupun krisis tenaga memberi kesan kepada kos sistem tenaga negara sejak dua tahun lepas, ini sebaliknya telah mengukuhkan tekad TNB untuk mempercepat pelaksanaan usaha campuran sumber penjanaan lebih bersih menjelang 2050.
Ini bermakna TNB mengalihkan pergantungan tinggi terhadap sumber bahan api fosil bagi penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, dengan kos bahan api menyumbang lebih daripada 70 peratus kepada kos penjanaan.
"Walaupun begitu, kami terus memenuhi kewajipan dengan menyediakan bekalan tenaga berdaya harap, terjamin dan berpatutan kepada negara.
"Dalam menguruskan kos bahan api lebih tinggi, kami terus bekerjasama dengan kerajaan dalam pelaksanaan mekanisme ICPT," katanya.
Baharin berkata, di bawah mekanisme tersebut, kerajaan telah menyediakan bayaran subsidi kepada rakyat bagi mengimbangi kos bahan api lebih tinggi dalam penjanaan elektrik.
"Ini ditambah dengan pengurusan modal kami secara berhemat yang telah membantu TNB mengurangkan tekanan harga bahan api yang tinggi," katanya. - BERNAMA
#pelaburan #pendidikan #subsidi bersasar #TNB
;