TNB siasat kes pelajar maut direnjat elektrik
Vivi Sumanti
September 21, 2019 17:30 MYT
September 21, 2019 17:30 MYT
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Kelantan akan menyiasat kes remaja maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sawah padi Kampung Padang Melintang, Tawang, pagi Jumaat.
Sumber TNB memberitahu pihaknya sudah sedia maklum berhubung kejadian yang menyebabkan pelajar, Muhamad Danial Harith Mohamad Satar yang meninggal dunia selepas cuba mengait umpan tiruan miliknya yang tersangkut pada kabel elektrik.
Tambah sumber, bagaimanapun pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan tidak dapat memberikan maklumat terperinci berhubung kes itu.
Dalam kejadian jam 10.50 pagi Jumaat, kegembiraan Muhammad Danial dan dua rakannya mahu memancing berakhir tragedi apabila dia terkena renjatan elektrik.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, mangsa dipercayai cuba mengambil umpan tiruan miliknya bersama dua lagi rakan yang terlekat pada hari Khamis.
"Mangsa cuba menggunakan galah buluh yang basah lalu terkena talian elektrik dan berlaku aliran karan menyebabkan renjatan elektrik pada mangsa.
"Bedah siasat ke atas mangsa juga mengesahkan sebab kematian akibat renjatan elektrik," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sebelum itu, ahli keluarga mangsa memaklumkan salah seorang rakan mangsa datang ke rumah untuk memberitahu mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus itu terkena elektrik.
Katanya, ahli keluarga kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan (KK) Beris Kubur Besar.
"Pihak klinik memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia dan di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.
"Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.