TNB sedia RM5.8 juta untuk pembangunan habitat kelip-kelip

Abd Razak Mohd Ali
Februari 10, 2019 20:11 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima, kanan) sebelum menanam pokok berembang yang menjadi habitat pembiakan kelip-kelip pada Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar di Kampung Dew hari ini. - Foto Bernama
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan peruntukan sebanyak RM5.8 juta untuk penyelidikan dan pembangunan habitat kelip-kelip di seluruh negara bagi tempoh tiga tahun, sejak 2017.
Selepas kejayaan usaha pemuliharaan koloni kelip-kelip di Kampung Kuantan di Selangor, tiga lagi lokasi baru yang berpotensi besar telah dipilih, iaitu Kampung Dew di Taiping Perak, Sungai Timun Rembau Negeri Sembilan dan Kampung Yak Yah Kemaman Terengganu.
Pengurus Besar Bahagian Penjanaan dan Alam Sekitar TNB Research Sdn Bhd, Dr Mohd Harifin Boosroh berkata, program itu adalah salah satu inisiatif tanggungjawab korporat TNB dalam bidang alam sekitar.
“Melalui program ini, kita harap, kita akan dapat memperkembangkan lagi apa yang telah berjaya dibina di Kuala Selangor ke tempat-tempat lain dan seperti yang telah dinyatakan tadi.
"Kebaikannya bukan hanya untuk preserve (mengekalkan) kelip-kelip tetapi juga untuk membantu sosio ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program lestari komuniti dan alam sekitar Kampung Dew, Taiping pada Ahad yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Kajian Kelip-Kelip Kampung Dew, Profesor Madya Dr Norela Sulaiman berkata, keunikan kelip-kelip di Malaysia, termasuk di Kampung Dew ialah haiwan itu berkelip serentak.
“Kajian kami di Kampung Dew kita dapati bahawa bilangan jantan dengan betina masih lagi stabil tapi kalau kita tingkatkan lagi kita tanam lebih banyak pokok, tempat dia membiak, kita boleh dapat meningkatkan lagi bilangan populasinya dan juga taburan kelip-kelip ni di sekitar tebing sungai dan jika tidak ada penerokaan tanah secara haram di tebing-tebing sungai, lagi tambah dapat lebih cepat dipertingkatkan bilangan koloni populasi kelip-kelip,” katanya.
Sementara itu, bagi memulihara spesis kelip-kelip di Kampung Dew, kerajaan negeri Perak telah mewartakan kawasan sekitar sungai di kampung tersebut sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip sejak tahun 218.
#kelip-kelip #Malaysia #Menteri Besar #penyelidikan #R&D #TNB
;