TNB sedia 145 set jana kuasa di negeri-negeri dilanda banjir
Bernama
Januari 5, 2017 07:49 MYT
Januari 5, 2017 07:49 MYT
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan 145 set jana kuasa di beberapa lokasi strategik di negeri-negeri yang dilanda banjir di Pantai Timur.
Pengurus Besar Kanan (Rangkaian Pengedaran) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata sebanyak 10 set jana kuasa ditempatkan di beberapa kawasan di Kelantan dan masing-masing dua dan satu di Terengganu dan Pahang.
Katanya TNB juga menyediakan 132 jana kuasa mudah alih iaitu 60 di Kelantan, Terengganu (22) dan Pahang (50).
"Jana kuasa tersebut berada dalam situasi siap siaga untuk digunakan terutama di premis penting atau strategik seperti hospital dan pusat pemindahan mangsa banjir sebaik diperlukan," katanya dalam kenyataan di sini,pada Khamis.
Sementara itu, Wan Nazmy berkata operasi di beberapa pencawang elektrik di Kelantan dan Terengganu yang pulih awal petang semalam telah dihentikan tugas semula secara berperingkat ekoran paras air yang kembali meningkat.
"Setakat 2 petang ini, operasi empat pencawang elektrik dihentikan melibatkan tiga di Kelantan dan satu di Terengganu. Henti tugas berkenaan adalah bersifat sementara demi keselamatan awam," katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi talian TNB CareLine di 15454 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA