TNB sasar 17,500 individu terima manfaat dalam program ILSAS
Astro Awani
Mac 22, 2022 15:04 MYT
Mac 22, 2022 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program TNB Integrated Learning Solution (ILSAS) mensasarkan 17,500 rakyat Malaysia bakal menikmati manfaat dan mendapat pekerjaan menerusi program tersebut menjelang 2024.
Pengarah Urusan ILSAS, Siti Sarah Johana Mohd Said berkata, pihaknya yakin program yang diperkenalkan sejak 2020 itu akan mencapai sasaran 5,000 peserta setiap tahun bagi membantu mendapatkan pekerjaan menerusi program kemahiran semula itu.
Jelas beliau, setakat ini seramai 3,246 individu yang menamatkan latihan dengan anak syarikat milik penuh TNB itu telah berjaya mendapat pekerjaan.
"Apa yang menyebabkan ia 'almost unprecedented' di mana ia melibatkan tri-partite collaboration atau usaha sama tiga penjuru.
"Pertama, kami mencari orang yang memerlukan pekerjaan. Kita pergi ke seluruh pelosok sehingga Kelantan, Terengganu, Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau persatuan orang-orang buta dan kami pergi mencari setiap minggu.
"Kedua, kami melatih mereka dari segi 'reskilling' atau 'upskilling', yang mana bersesuaian dengan keadaan atau tahap pendidikan mereka. Selain itu, kami memadankan mereka dengan pekerjaan-majikan," katanya pada sesi taklimat Program Kemahiran Semula TNB Setiap Tahun bersama media yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Sarah berkata, program tersebut dikhususnya untuk membantu memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19,.
Selain itu, ia turut memberi tajaan kepada individu yang hilang pekerjaan akibat pandemik itu bagi mendalami kemahiran dalam bidang elektrik.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak program latihan berkenaan akan dilanjutkan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sebanyak lima program khas yang disediakan TNB menerusi program berkenaan iaitu kursus pemasangan panel solar, pemasangan Meter Pintar (Smart Meter), pengoperasian, penyelenggaran sistem kuasa termasuklah mengendali elektrik voltan sederhana dan rendah.
Program ILSAS yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia itu berlangsung selama lima hingga 10 hari di dua buah fasiliti TNB iaitu ILSAS dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kampus Muadzam Shah.