TNB lancar projek bekalan elektrik berimpak tinggi di Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
September 15, 2022 17:52 MYT
September 15, 2022 17:52 MYT
SEBERANG JAYA: Tenaga Nasional Berhad ( TNB) melancarkan projek berimpak tinggi pengukuhan bekalan elektrik di Pulau Pinang hari ini.
Dengan kos bernilai RM500 juta, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2024.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli , Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyambungan terus bekalan elektrik ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas monopole 275kV sepanjang 8.5km menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light, dibina selari dengan jambatan Pulau Pinang.
Ia sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan.
Takiyuddin berkata, projek itu juga bakal menjadi mercu tanda ikonik kerana enam daripada 31 buah menara talian penghantarannya unik dengan reka bentuk buah pinang yang akan dibina di tengah-tengah jajaran jambatan Pulau Pinang.
"Sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang melancarkan projek ini, projek ini melibatkan bekalan talian atas, bukan di bawah laut.
"Kita rasakan projek ini adalah perlu untuk negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang aktif dari segi ekonomi dan perindustrian, jadi TNB sebagai syarikat utiliti utama yang dipunyai oleh kerajaan kita memang membekal bekalan mencukupi untuk Pulau Pinang," katanya.
Dalam masa sama katanya, permintaan bekalan elektrik dijangka meningkat pada masa hadapan, berdasarkan permintaan beban puncak yang pernah mencecah hingga 777.85 MW yang direkodkan pada bulan Januari 2020.
Justeru, amat tepat sekali pelaksanaan projek talian atas ini yang berkapasiti lebih tinggi berbanding dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut.
Takiyuddin berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Khamis.
Majlis disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh usaha tersebut yang nyata memberi manfaat dan jaminan bekalan elektrik di seluruh negeri itu, khususnya di bahagian pulau .
Jelasnya, projek tersebut penting dapat membantu merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan negeri .