TNB laksana pembersihan pejabat kekang jangkitan COVID-19

Bernama
Mac 10, 2020 07:38 MYT
TNB juga menjalankan pemeriksaan suhu badan pegawai dan pelanggan di Kedai Tenaga seluruh negara. - Gambar hiasan
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah proaktif dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19 secara menyeluruh, dengan melaksanakan proses nyah kuman, yang melibatkan Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar, Wisma TNB di Jalan Timur, Petaling Jaya, dan semua cawangannya.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ketua Pegawai Korporatnya Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata proses nyah kuman dan pembersihan persekitaran pejabat itu dilakukan pada 7 dan 8 Mac lepas, dengan tujuan memastikan semua warga kerja dan pelawat berasa yakin terhadap tahap keselamatan dan kebersihan pejabat TNB.
Beliau berkata sejak minggu lepas TNB telah mengambil langkah waspada bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dengan melakukan saringan kesihatan kepada semua warga kerja dan pelawat di semua pejabat TNB.
"Setiap pegawai Kedai Tenaga yang berurusan dengan pelanggan dibekalkan dengan topeng muka. Cecair pembasmi kuman turut disediakan di premis bagi kemudahan pegawai dan pelanggan. TNB juga menjalankan pemeriksaan suhu badan pegawai dan pelanggan di Kedai Tenaga seluruh negara," katanya.
Katanya pembersihan di Kedai Tenaga terutama pada pemegang pintu, kaunter, tempat duduk dan kios pembayaran juga dilakukan tiga kali sehari menggunakan cecair pembasmi kuman agar pelanggan dapat berurusan dengan lebih yakin.
-- BERNAMA
#cecair pembasmi kuman #COVID-19 #jangkitan #Kedai Tenaga #keselamatan #kesihatan #nyah kuman #pelanggan #pembersihan #pemeriksaan suhu badan #Roslan Ab Rahman #saringan kesihatan #Tenaga Nasional Berhad #TNB
;