TNB jangka lebih 1.8 juta pengguna meter pintar menjelang akhir tahun

Bernama
Ogos 22, 2021 12:00 MYT
Kerja-kerja pemasangan meter pintar disambung semula pada 1 Ogos 2021 selepas ditangguhkan sejak Jun lalu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 600,000 lagi pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menjadi pengguna meter pintar menjelang hujung tahun ini berikutan penyambungan semula projek pemasangan meter pintar yang sebelum ini ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB, Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata dengan penyambungan semula pemasangan meter ini jumlah pengguna meter pintar bakal meningkat kepada lebih 1.8 juta pada penghujung 2021.
"Sehingga 30 Jun, 2021, 1.22 juta pelanggan TNB telah memasang meter pintar di Lembah Klang dan Melaka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Ghous berkata kerja-kerja pemasangan meter pintar disambung semula pada 1 Ogos 2021 berikutan mendapat kebenaran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) selepas terpaksa ditangguhkan ketika kawalan pergerakan penuh yang dilaksanakan sejak Jun lalu.
Menurutnya, tumpuan akan diberikan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka sentiasa dipatuhi setiap masa.
"Pemasangan meter pintar pada awal fasa ini berfokus pada bangunan bertingkat tinggi yang mempunyai pihak pengurusan bangunan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya serta Cyberjaya bagi menjaga penjarakan sosial untuk membendung penularan wabak COVID-19.
"Demi menjamin keselamatan kontraktor dan pelanggan, pemasangan meter pintar ini dibuat dengan mematuhi SOP yang ketat seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Sementara itu, Mohamed Ghous berkata TNB juga komited memastikan warga kerja dalam kalangan barisan hadapannya menerima vaksinasi yang mana setakat ini 98 peratus daripada hampir 8,000 pekerja barisan hadapan TNB telahpun menerima dos lengkap di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Pengguna meter pintar menikmati pelbagai kelebihan termasuk dapat memantau dan mengawal penggunaan elektrik mereka menerusi gabungan portal dan applikasi myTNB. Secara amnya, lebih 60 peratus pengguna meter pintar TNB telah pun mengguna pakai myTNB," katanya.
-- BERNAMA
#TNB #meter pintar #pemasangan #PKP #Mohd Ghous Ahmad
;