TNB diminta kemuka pelan hala tuju pembangunan grid untuk integrasi TBB - Nik Nazmi

Umavathi Ramayah
Ogos 29, 2023 15:54 MYT
Nik Nazmi (dua, kanan) sewaktu pelancaran Fasa Kedua Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di ibu negara hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) diminta untuk mengemukakan pelan hala tuju pembangunan grid untuk integrasi tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih tinggi sebagai panduan teknikal dalam peningkatan serta menambah baik pelaksanaan dasar dan inisiatif tenaga lestari.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelan berkenaan juga perlu mengambil kira pengembangan kenderaan elektrik dan pusat data, integrasi kuasa rentas sempadan dan penggunaan projek TBB yang lebih meluas, termasuk seperti mana yang diumumkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Saya dimaklumkan bahawa prestasi sistem grid semasa TNB adalah setanding dengan negara-negara maju iaitu dengan 0.18 Minit Sistem dan SAIDI (Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem) selama 45.06 minit.
“Bagi memastikan kita terus kekal maju, penambahbaikan selanjutnya terhadap sistem grid bagi kemudahan peralihan tenaga yang disasarkan, adalah wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran TNB di sini, pada Selasa.
Tambah Nik Nazmi, kerajaan sudah pun mengambil langkah untuk meningkatkan struktur kawal selia untuk mempercepatkan peralihan tenaga dengan mengambil kira ekosistem yang komprehensif.
Bagaimanapun, katanya, usaha transformasi penting pengeluaran dan penggunaan tenaga tersebut adalah sesuatu yang masih diperlukan.
"Ini melibatkan pelaburan besar dalam pembangunan, pengukuhan serta pemodenan grid tersebut.
"Dianggarkan RM180 bilion diperlukan sehingga 2050 untuk menampung usaha membangunkan grid yang kukuh serta fleksibel ini," jelasnya lagi.
#TNB #Pelan Hala Tuju #tenaga boleh baharu #Nik Nazmi
;