TNB buat penilaian kerugian menyeluruh selepas banjir pulih
Abd Hadi Che Awang
Januari 9, 2021 14:42 MYT
Januari 9, 2021 14:42 MYT
KUALA NERANG: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melakukan perkiraan ke atas nilai sebenar kerugian yang ditanggung susulan banjir yang berlaku di negeri Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan.
Menurut Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, penilaian keseluruhan akan dibuat bermula minggu hadapan selepas keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa tempat di negeri terlibat mulai surut.
Jelas beliau, pihaknya menganggarkan jumlah kerugiaan keseluruhan adalah mencecah jutaan ringgit namun ia merupakan nilai yang lebih kecil berbanding ketika berlakunya banjir pada 2014.
Ia selepas beberapa inisiatif awal yang diambil berdasarkan kejadian lebih enam tahun lalu termasuk pemasangan pencawang elektrik di tempat yang lebih tinggi.
Mahdzir turut menegaskan bahawa, pihak TNB sentiasa bersiap sedia selama 24 jam di Pusat Operasi TNB di empat negeri berkenaan dalam memberikan bantuan bekalan elektrik kepada mangsa banjri terutamanya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
TNB juga menurutnya akan menutup bekalan eletrik di kawasan-kawasan yang dinaiki air banjir dalam memastikan keadaan keselamatan penduduk berada pada tahap yang selamat selain mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, generator khas (genset) akan dipasang bagi membekalkan tenaga elektrik terutama di sekolah-sekolah yang dijadikan lokasi PPS.
"Bila pergi (melawat kawasan) kelmarin (Jumaat) ke Pahang, saya dapat tengok banyak pencawang diletak di tempat (tinggi) macam dia letak atas rumah, atas tangga. Jadi yang itu dapat diselamatkan. Tapi banyak lagi yang rosak, sebab ia tenggelam terus.
"Saya ingat dalam seminggu lagi bila dah surut sikit kita akan kira, tapi kita perbaiki terus, sebab kita taknak bagi masyarakat tak ada bekalan elektrik. Kalau dapat selesaikan terus perbaiki. Kalau tak perbaiki, kena bawa generator masuk untuk bekalkan elektrik. Kesiapsiagaan 24 jam bilik operasinya di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan di Bangunan UMNO Parlimen Padang Terap, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mahdzir menjelaskan bahawa, daerah Temerloh menjadi antara lokasi yang paling terjejas ketika lawatannya ke negeri Pahang pada Jumaat dan menyatakan bahawa nilai kerugian yang dihadapi TNB di daerah berkenaan menjadi antara yang tertinggi.
#TNB
#penilaian
#Mahdzir Khalid
#Tenaga Nasional Berhad
#banjir
#kerugian banjir
#terengganu
#Johor
#Pahang
#Kelantan