TN50: Pelajar Malaysia luar negara patut beri pandangan - Mahdzir
Bernama
Januari 23, 2017 22:50 MYT
Januari 23, 2017 22:50 MYT
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara terutamanya pelajar memberi pandangan ke arah meningkatkan kualiti pendidikan negara selaras dengan hala tuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Beliau berkata kementeriannya sangat mengalu-alukan pandangan bagi menambah baik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk menjadikan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan negara seperti United Kingdom, Jepun dan Korea.
Katanya generasi muda hari ini termasuk pelajar di luar negara yang akan menjadi tunjang kepada TN50 perlu menghayati program masa depan itu untuk membentuk negara mengikut acuan mereka sendiri.
"Pandangan anda adalah untuk kebaikan kita bersama, apatah lagi anda semua berada di luar negara dan dapat melihat bagaimana sistem pendidikan di luar negara," katanya
semasa menghadiri Dialog Bersama Pelajar dan Komuniti Malaysia di Malaysia Hall, London, United Kingdom, semalam.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata lebih 100 penuntut dan masyarakat Malaysia hadir bagi mendengar dan berdialog mengenai pelbagai isu semasa serta perkembangan terkini mengenai dasar dan transformasi pendidikan negara.
Mahdzir berkata PPPM 2013-2025 mempunyai hubung kait dengan usaha kementerian dalam mencapai matlamat pendidikan untuk semua iaitu satu daripada Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 2030 seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Ini bermakna menjelang 2030, semua kanak-kanak mendapat akses kepada perkembangan awal, asuhan dan pendidikan prasekolah yang berkualiti supaya mereka bersedia untuk pendidikan sekolah rendah," katanya.
Katanya kementerian akan berusaha untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat hak pendidikan 100 peratus walaupun ketika ini masih terdapat murid yang berada jauh di pedalaman tidak mendapat akses pendidikan.
"Saya melihat sistem pendidikan juga perlu banyak berubah termasuk kualiti guru ditingkatkan.
"Apa yang paling penting bagi saya adalah guru hari ini tidak boleh lagi mengajar semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi turut memberi perhatian kepada masa depan murid," katanya.
Mahdzir berada di London bagi menghadiri Forum Pendidikan Dunia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
-- BERNAMA