TN50: Kesihatan, persaraan antara topik paling kurang dibincangkan belia

Hilal Azmi
April 21, 2017 17:00 MYT
KHAIRY: Mahu topik kesihatan dan persaraan lebih banyak dibincangkan belia. - Astro AWANI
Topik ekonomi, pekerjaan, persekitaran serta pendidikan menjadi perkara paling popular dalam senarai aspirasi belia yang dicadangkan menerusi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Memnurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam sudut lain, topik kesihatan dan persaraan antara yang paling kurang diketengahkan sepanjang Fasa Pertama Siri Dialog TN50.
"Ia sesuatu yang biasa bagi orang muda kerana mereka takkan fikir soal kesihatan dan persaraan kerana ramai yang percaya mereka akan hidup 1,000 tahun lagi," selorohnya.
Begitupun, Khairy berharap topik tersebut akan lebih banyak dibincangkan selepas ini.
"Pada tahun 2050 nanti, ramai belia juga akan tua serta negara kita juga akan menjadi 'lebih tua' berbanding sekarang," katanya dalam sidang media selepas sesi Taklimat Media Dapatan Terkini dan Permulaan Fasa 2 Dialog TN50.
Jelasnya, secara keseluruhan, Kementerian Belia dan Sukan berada di landasan yang tepat selepas berjaya mendekati lebih 585,000 belia sepanjang fasa pertama dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Maklumbalas yang menggalakkan dengan 26,000 aspirasi TN50 yang berkualiti berjaya dikumpulkan menerusi pelbagai saluran termasuk dialog dan juga secara atas talian.
Beliau berkata, dialog dan pengumpulan aspirasi TN50 kini memasuki fasa kedua, yang akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.
"Selepas ini, kita akan memulakan fasa untuk mengupas dan membahas aspirasi belia dengan lebih mendalam bagi menganalisis dan merumus cadangan secara menyeluruh dalam membentuk perancangan dasar TN50 dan Laporan Belia TN50.
"Kita juga akan membentuk Kumpulan Masa Depan TN50 dengan setiap kumpulan dianggotai 10 anggota belia dan tiga pakar subjek, yang akan melihat dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai topik utama berkaitan," katanya.
Tambah Khairy, bermula hari ini sehingga 12 Mei, pihaknya akan membuka peluang kepada generasi muda yang berminat untuk turut serta atau mencalonkan nama individu yang berkaliber bagi menjadi Ahli Belia Kumpulan Masa Depan TN50.
"Kita juga buka permohonan untuk individu berusia lebih 40 tahun yang mahu menjadi Pakar Subjek Kumpulan Masa Depan TN50. Permohonan ini boleh dibuat menerusi www.mytn50.com/circles/registration," katanya.
#Belia #ekonomi #kesihatan #Khairy Jamaluddin #menteri #pendidikan #sukan #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;