TN50 digerakkan dari akar umbi, manfaatkan semua golongan - PM Najib
Bernama
November 28, 2016 07:26 MYT
November 28, 2016 07:26 MYT
Pembentukan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan bermula di peringkat akar umbi khasnya daripada golongan muda sebelum ia berkembang di peringkat lebih tinggi untuk manfaat negara bagi tempoh 30 tahun akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO berkata hala tuju negara bagi tempoh tersebut akan lebih jelas lagi apabila TN50 telah ditetapkan dan bakal digerakkan mulai tahun depan.
"Kita ingin mulakan 'discourse' (wacana) mulai tahun hadapan sebab kita perlukan masa yang sesuai. Takkan sampai 2020 baru kita nak mulakan. Kita nak mulakan sekarang, supaya dalam masa menjelang 2020 kita telah ada hala tuju.
"Berbeza dengan Wawasan 2020 sebab masa diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, maknanya daripada 'top bottom' (atas ke bawah). Saya nak wacana ini bermula daripada rakyat di peringkat akar umbi terutamanya dalam kalangan orang muda.
"Ini kerana golongan inilah yang akan memiliki negara kita ini satu hari nanti. Hakikatnya memang itu benar dan ia akan melibatkan semua komponen dalam negara kita," katanya dalam program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 malam tadi.
Ditanya mengenai perbezaan antara TN50 dan Wawasan 2020, Najib berkata adalah terlalu awal baginya membuat perbandingan dan pendirian peribadi mengenai hala tuju mana yang lebih baik untuk rakyat.
"Terlalu awal untuk saya katakan. Tidak mahu pre-empt (menjangka) apa rakyat kata. Kita mesti ada hala tuju dokumen yang komprehensif menyeluruh, dimiliki rakyat, sense of belonging (semangat kekitaan). Ini hak kita, datang daripada rakyat, itulah hasrat saya.
"Saya tidak mahu menyatakan pendirian saya hinggalah ke saat akhir apabila kita ambil pandangan, rumuskan sebagai dasar dan visi baru negara, untuk dijadikan landasan 30 tahun akan datang," katanya.
TN50 yang digagaskan Najib merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt lepas, mengumumkan kerajaan akan menggerakkan siri wacana nasional ke arah membentuk TN50.
Perdana menteri ketika itu berkata TN50 akan dimulakan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional seperti yang diputuskan oleh Kabinet dan akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan. -- Bernama
#Bajet 2017
#Najib Razak
#Perhimpunan Agung UMNO 2016
#Transformasi Nasional 2050
#wacana nasional
#Wawasan 2020