TN50 bukan program politik - Khairy
Hilal Azmi
Januari 14, 2017 20:53 MYT
Januari 14, 2017 20:53 MYT
Siri Dialog Nasional dalam memeta hala tuju negara dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) bukan program politik.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pandangan rakyat terutamanya belia dan anak muda diambil bagi membolehkan ia dijayakan bersama.
"Kalaupun kita diperintah oleh kerajaan atau pemimpin yang berbeza menjelang 2050 nanti, proses ini datang daripada perbincangan bersama rakyat.
"Jadi, kerajaan pada ketika itu tidak patut mengabaikan aspirasi rakyat dan saya menganggap ini bukanlah bersifat politik," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Jelas beliau, pihaknya sangat serius untuk mendapatkan pandangan daripada sekurang-kurangnya 1.5 juta belia di seluruh negara.
Tanpa mengira latar belakang pekerjaan, agama, bangsa mahupun kaum, setiap pandangan yang membina akan diperhalusi serta didokumenkan sebelum dasar penuh digubal.
"Kita akan dengan semua pandangan.
"Kita tak mahu ambil tindakan kepada sebarang cadangan yang membina biarpun ia mungkin menunjukkan kelemahan pada sistem sedia ada.
"Tetapi, kalau nak buang masa, buatlah pandangan yang menghentam dan mengutuk, cadangan seperti itu saya tak buat apa," jelasnya.
Tambah Khairy Jamaluddin, TN50 merupakan kesinambungan daripada Wawasan 2020 dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneruskan rencana memajukan negara untuk 30 tahun akan datang.
"Masalah yang ada pada hari ini kita akan terus cuba selesaikan menerusi program dan inisiatif sedia ada.
"Tidak bermakna dengan adanya TN50 ini seolah-olah kita alihkan pandangan rakyat ke 30 tahun akan datang dan kita tidak selesaikan masalah hari ini.
"Negara yang tidak bersedia untuk masa depan akan gagal," tambahnya.
TN50 pertama kali diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016.
Ia yang digagaskan Datuk Seri Najib merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.