TN50 bakal lengkapkan dasar diperkenal pemimpin terdahulu - Khairy

Bernama
April 12, 2017 23:29 MYT
Khairy berkata selepas Wawasan 2020, negara memerlukan visi baharu untuk memenuhi keperluan generasi masa hadapan. - Foto Bernama
Transformasi Nasional 2050 (TN50) diyakini bakal melengkapkan dasar-dasar yang pernah diperkenalkan kepimpinan terdahulu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata berbanding dasar-dasar diperkenalkan sebelum ini, rancangan TN50 akan lebih mengutamakan realiti dunia hari ini yang berasaskan kemajuan teknologi dan internet.
"Wawasan 2020 akan berakhir dalam tempoh beberapa tahun lagi, tetapi adakah ia bermakna soal pembangunan telah tamat. Ada banyak perkara yang tiada semasa pembentukan dasar Wawasan 2020 kerana perkembangan dunia kini semakin pesat dengan kemajuan internet segala-segalanya (IoT) dan robotik," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Chillax Agropreneur Muda TN50 yang turut disertai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), malam ini.
Khairy berkata selepas Wawasan 2020, negara memerlukan visi baharu untuk memenuhi keperluan generasi masa hadapan kerana dunia semakin mencabar termasuk dari segi peluang pekerjaan serta jaminan keselamatan makanan.
Dalam pada itu, beliau berkata penerapan teknologi juga perlu diaplikasikan di dalam industri pertanian supaya dapat dijadikan landasan untuk memajukan kawasan luar bandar.
"Kita mahu pada masa hadapan, anak-anak muda akan berminat untuk kembali ke desa dan memajukan kawasan luar bandar melalui industri pertanian," katanya.
Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata kerajaan bertanggungjawab melancarkan visi baharu untuk memastikan Malaysia terus menyaingi atau 'berdiri sama tinggi' dengan negara-negara maju dari segi jaminan keselamatan makanan negara.
Katanya kemajuan negara perlulah seimbang dengan turut mengutamakan perkembangan sektor pertanian bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara berada dalam kedudukan yang baik, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
"Pada masa sama dalam mengejar kemajuan, kerajaan juga akan menitikberatkan pembangunan industri pertanian tempatan dalam usaha mengurangkan import makanan.
"Kementerian juga mahu gerakan-gerakan petani, nelayan dan penternak tempatan diperkukuhkan lagi dalam usaha menjaga industri pertanian negara," katanya.
Ahmad Shabery juga berkata, beliau sendiri bersetuju menurunkan syarat umur bagi menjadi Anggota Pertubuhan Peladang dari 18 tahun kepada 13 tahun untuk memupuk ilmu pertanian dalan kalangan rakyat sejak daripada usia muda.
-- BERNAMA
#Khairy Jamaluddin #Menteri Belia dan Sukan #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;