TN50 akan diteruskan walaupun kerajaan bertukar, kata Khairy

Bernama
Mac 23, 2017 06:01 MYT
KHAIRY: Pendekatan ini membolehkan TN50 bebas daripada campur tangan politik.
Aspirasi pelan induk Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan diteruskan sehingga akhir 2050 tanpa mengira parti politik mana yang memerintah pada ketika itu kerana ia adalah wawasan rakyat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sesiapa pun yang menguasai kerajaan pada masa itu, perlu menghormati aspirasi TN50 kerana ia bukan aspirasi kerajaan atau individu, tetapi rakyat.
"Bahagian paling penting TN50 ialah ia pendekatan daripada akar umbi kepada kepemimpinan, yang bermakna ia (TN50) adalah suara rakyat. Oleh itu anda (kerajaan) bertanggungjawab untuk menghormati aspirasi (TN50) itu kerana ia adalah aspirasi rakyat.
"Oleh itu pendekatan ini membolehkan TN50 bebas daripada campur tangan politik," katanya semasa sesi panel di Forum Transformasi Global 2017 di sini, pada Khamis.
Khairy adalah antara ahli panel dalam sesi mengenai 'Transformasi Malaysia: Menunaikan Janji Kerajaan'.
Ahli panel lain termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Mengenai perbezaan antara TN50 dan Wawasan 2020, Khairy berkata, aspirasi TN50 adalah lebih khusus.
Menurutnya, Wawasan 2020 kebanyakannya merangkumi aspirasi umum.
"Cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020 adalah umum. Ia adalah cabaran dan aspirasi menarik, tetapi ia umum dalam erti kata ia aspirasi keibuan," katanya.
Antara cabaran Wasawan 2020, kata Khairy, ialah mewujudkan negara Malaysia yang benar-benar bersatu dan masyarakat penyayang.
"Tidak ada petunjuk khusus untuk kita (kementerian). Disebabkan itu, ia adalah aspirasi umum yang menarik yang boleh orang ramai fahami," katanya.
Menurut Khairy, melalui TN50 kerajaan telah menetapkan sasaran khusus negara ini pada 2050 dan bukan hanya kenyataan atau aspirasi umum.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata (ketika pelancaran TN50) yang kita mahu menjadi antara 20 negara teratas di dunia (menjelang 2050) dari segi indeks pembangunan insan, keluaran dalam negara kasar per kapita, inovasi, malah ranking bola sepak kita," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pengenalan TN50 tidak bermakna kerajaan akan mengetepikan Wawasan 2020.
"Hanya disebabkan arkitek Wawasan 2020 kini berada dalam barisan pembangkang, tidak bermakna wawasan itu diketepi atau ditinggalkan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#Belia #kerajaan #Khairy Jamaluddin #Malaysia #politik #rakyat #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;