TMWT tumpu pasaran memuncul tarik pengunjung pada TMK2020
Bernama
Februari 28, 2020 07:02 MYT
Februari 28, 2020 07:02 MYT
Tourism Malaysia Wilayah Timur (TMWT) sedang menggiatkan usaha untuk menembusi pasaran memuncul dalam usaha merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan 2020.
Pengarahnya, Hafiz Hazin berkata ia berikutan ramai pelancong dari pasaran sasaran berhadapan dengan kekangan untuk ke luar negara susulan penularan COVID-19 sejak hujung tahun lepas.
Sehubungan itu katanya, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Kelantan dilihat bakal menghadapi suasana suram ekoran COVID-19 di samping suasana politik yang masih tidak menentu kebelakangan ini.
"Kesannya jelas bila bilik-bilik hotel dan rumah tumpangan kosong dan kurang tempahan daripada pelancong kerana negara-negara yang menjadi pasaran utama, pelancong terutama pelancong dari China kini tidak dapat keluar negara dan hari ini, pasaran Timur Tengah turut menutup pintu kepada penerbangan luar, termasuk Malaysia, kerana COVID-19, dan ini semakin menyukarkan pelancong luar masuk ke negara ini," katanya di sini, hari ini.
Hafiz berkata ramai pelancong merasa gusar dengan keselamatan kesihatan masing-masing menyebabkan ramai yang membatalkan tempahan bilik penginapan di hotel juga rumah tumpangan.
"Bagaimanapun untuk katakan sambutan Tahun Melawat Malaysia khususnya Kelantan tahun ini tidak mendapat sambutan adalah kurang tepat kerana ia masih terlalu awal, dan kita sendiri di pihak Tourism Malaysia masih berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong termasuk pelancong tempatan," katanya.
Hafiz juga berkata, pihaknya sedang mengenal pasti dan mengedepankan produk pelancongan berlandaskan komuniti kerana produk seperti ini menarik pelancong untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman orang kampung termasuk menangkap ikan di sawah.
"Kita yakin akan ada perubahan corak sambutan pelancong pada peringkat kedua sambutan berikutan beberapa langkah penting termasuk mengutamakan pasaran pelancongan memuncul serta produk pelancongan berlandaskan komuniti sudah dimulakan.
Pada Khamis, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 memberi ruang kepada pemain industri pelancongan tempatan untuk kembali 'bernafas' di sebalik penularan virus COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi global.
Ia termasuk pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik yang akan memberi galakan kepada rakyat untuk kembali melancong dalam negeri dan di memenuhi bilik kosong di hotel yang terjejas susulan COVID-19 selain ketidaktentuan ekonomi global sejak beberapa bulan lepas akibat perang dagang antara China dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#China
#COVID-19
#ekonomi
#Hafiz Hazin
#hotel
#pakej rangsangan ekonomi
#pasaran memuncul
#pelancong
#pelancongan
#penerbangan
#perang dagang
#Tahun Melawat Kelantan
#tahun melawat malaysia
#TMWT
#Tourism Malaysia
#Tourism Malaysia Wilayah Timur