TMP akan pastikan Daish tidak dapat bertapak walau 'seinci' di rantau ini

Hafiz Marzukhi
Jun 19, 2017 16:40 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin berkata kerjasama ini yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan kumpulan itu tidak dapat bertapak 'walau seinci' di rantau ini. - Foto Bernama
Inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) menjadi bukti bahawa ASEAN sesungguhnya komited dalam usaha untuk mengekang ancaman keselamatan, terutamanya pengaruh kumpulan Daish di rantau ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama ini yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan kumpulan itu tidak dapat bertapak 'walau seinci' di rantau ini.
"Kerjasama ini membuktikan sekiranya ada political will (kemahuan) untuk menentang musuh yang sama, inisiatif sebegini mampu direalisasikan," kata Hishammuddin ketika sidang media bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana.
Sidang media tersebut diadakan di atas kapal milik Tentera Laut Indonesia, KRI Dr Soeharso tengah hari ini.
Matlamat utama pelaksanaan inisiatif ini adalah bagi memastikan anggota militan termasuk Daish tidak menjadikan Lautan Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke tiga negara ini.
Selain itu, ia turut dilaksanakan untuk menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan ini.
Sementara itu, Hishammuddin turut menghadiri perasmian Maritime Command Centre (MCC) Tarakan yang dirasmikan secara bersama oleh Panglima Angkatan Tentera dari ketiga-tiga negara.
MCC Tarakan merupakan salah satu daripada tiga MCC terlibat dalam inisiatif TMP ini.
Dua MCC yang lain adalah di Tawau, Sabah dan di Bongao, Filipina.
#ASEAN #daish #Hishammuddin Hussein #Indonesia #Trilateral Maritime Patrol
;