TMP 2024: Perak yakin capai sasaran 8.35 juta pelancong

Abd Razak Mohd Ali
Disember 31, 2023 07:55 MYT
Saarani (kanan) melancarkan Jersi Perak FC Pra-Musim 2024 pada Ambang Tahun Baharu 2024 dan Pelancaran TMP 2024 di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah malam tadi. --fotoBERNAMA
BATU GAJAH: Kerajaan Negeri Perak yakin dapat menggamit sasaran lapan juta pelancong domestik dan dan 350,000 pelancong asing sempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan TMP 2024 pada Mei lalu dengan tambahan peruntukan RM7 juta bagi merangsang aktiviti promosi dan pengiklanan serta projek-projek kecil infra pelancongan di seluruh negeri.
Menurutnya, dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2024, beliau mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Tourism Perak bagi menjayakan TMP 2024 yang merangkumi kos pengurusan, penganjuran pelbagai acara domestik dan antarabangsa serta pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran.
“Namun, sehebat mana pun perancangan, sebanyak mana pun peruntukan yang dibelanjakan, ia tidak akan pernah memadai tanpa kerjasama semua pihak untuk menjayakannya.
“Apa yang paling penting, setiap daripada kita sebagai rakyat Perak perlu bersama-sama menggembleng ikhtiar untuk menjayakannya.
“Kita semua adalah duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung. Kita duta negeri untuk mempromosi sejarah, budaya dan keunikan yang ada di negeri kita.
“Kita adalah jurucakap yang menghebahkan mengenai pesona, keindahan dan keunikan negeri kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran TMP 2024 dan sambutan ambang tahun baharu 2024 di Silverlakes Village Outley di sini, malam tadi.
Beliau berharap, rakyat Perak dapat memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong.
“Kongsikan mengenai kelazatan makanan, keunikan kegiatan budaya serta program-program menarik yang disusun sepanjang kalendar pelancongan 2024,” ujarnya.
Menurutnya, pelbagai cerita menarik dan unik boleh diceritakan oleh warga Perak, misalnya, bandar raya Ipoh yang pernah diiktiraf oleh Lonely Planet sebagai 10 lokasi di Asia yang mesti dilawati.
Warga Taiping pula, katanya, boleh berkempen mengenai kecantikan serta pengalaman indah di Taiping yang pernah dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dari senarai 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.
Tambahnya, penduduk Hulu Perak boleh bercerita mengenai keindahan Royal Belum, Pulau Banding, Tasik Temenggor, Tapak Prasejarah Kota Tampan, Bukit Bunuh, Bukit Jawa dan Perak Man di Gua Gunung Runtuh, Muzium Arkeologi Lembah Lenggong dan lain-lain.
Dalam masa sama, kata Menteri Besar, orang Kuala Kangsar boleh bercerita bangga mengenai keindahan Bandar Diraja dan orang Lumut boleh bercerita mengenai keindahan Pulau Pangkor.
“Orang Hilir Perak boleh berkongsi cerita mengenai keunikan Menara Condong Teluk Intan. Orang Gopeng dan Kampar boleh mempromosikan keseronokan sukan lasak water rafting di Sungai Kampar selain merasai pengalaman indah di Gua Tempurung.
“Pendek kata, kita semua boleh memainkan peranan tersendiri untuk menggamit kehadiran pelancong.
"Sematkanlah rasa bangga untuk bercerita mengenai kehebatan, keindahan dan keanggunan setiap penjuru bumi Darul Ridzuan ini. Kita punya segala-galanya untuk ditawarkan kepada pelancong,” katanya.
Saarani turut mengingatkan warga Perak supaya sentiasa menjaga keamanan dan kebersihan negeri.
“Ingatlah, kebersihan dan keselamatan sentiasa meninggalkan kesan positif kepada para pelancong.
"Setiap pengalaman di negeri kita akan menjadi penceritaan pengunjung. Baik buruknya akan menentukan imej negeri kita di mata orang luar,” tambahnya.
#Saarani Mohamad #Tahun Melawat Perak 2024 #pelancongan #pelancong
;