TMM2020: 22 pintu masuk seluruh negara sambut pelancong

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2020 13:34 MYT
Acara sambutan di 22 pintu masuk di seluruh negara diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terlibat dengan industri pelancongan.
Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) membuka tirai dengan majlis sambutan pelancong dari dalam dan luar negara di 22 pintu masuk utama di seluruh negara, pada Rabu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, majlis yang julung kali diadakan itu adalah sebagai menghangatkan lagi kemeriahan sambutan kempen TMM2020.
Katanya, kumpulan pertama pelancong yang tiba di lokasi utama disambut dengan persembahan kebudayaan, selain menerima beg cenderahati berupa produk tempatan.
“Target kita mensasarkan 30 juta pelancong masuk ke Malaysia dan dengan itu kita berharap kita akan dapat menjana RM100 bilion hasil kemasukan pelancong tersebut.
“Kita yakin jumlah ini mungkin boleh meningkat,” katanya ketika ditemu pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Dalam memastikan sasaran tersebut tercapai, Mohamaddin berkata kementerian akan mengumumkan Visa On Arrival (VOA) bagi pelancong India dan China dalam tempoh terdekat.
“Saya akan menjemput Tan Sri Muhyidin Yassin (Menteri Dalam Negeri) untuk membuat pengumuman selepas saya berunding dengan beliau supaya Visa On Arrival dari China dan India akan diumumkan.
“Jadi bermakna kita akan nanti (pengumuman) Visa On Arrival dari China dan India dan kita berharap ia akan dapat mensasarkan lebih kedatangan pelancong,” ujarnya.
Acara sambutan di 22 pintu masuk di seluruh negara diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terlibat dengan industri pelancongan.
Antara lokasi pintu masuk terpilih adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia Padang Besar,Perlis; dan Lapangan Terbang antarabangsa Senai, Johor.
#China #kerajaan #Kuala Lumpur #Tahun Melawat Malaysia 2020 TM2020 #Visa
;