TMM 2014 janji pengalaman unik
Astro Awani
Januari 5, 2014 08:33 MYT
Januari 5, 2014 08:33 MYT
Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 menjanjikan pengalaman menakjubkan kepada setiap pelancong sama ada tempatan atau dari luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain keindahan flora dan fauna, Malaysia turut menawarkan pelancongan budaya yang unik untuk dialami mereka.
Muhyiddin yakin TMM 2014 akan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negara di samping menjadi alat mengeratkan perhubungan persahabatan antara negara.
“Sehubungan itu, Malaysia merupakan sebuah destinasi pelancongan yang selamat. Kami juga telah mengambil langkah bagi memastikan keselamatan dan kawalan sentiasa terjamin bagi pelancong, termasuk pengawalan polis menerusi Strategi Lautan Biru di kawasan tumpuan pelancong.
“Ini memastikan setiap pelancong dapat menikmati setiap pengalaman di Malaysia dengan tenang dan aman,” kata Muhyiddin.
TMM 2014 yang dilancarkan, diharap dapat membantu sektor pelancongan mencapai sasaran 36 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.