TMK 2024: Kelantan peruntuk RM3.3 juta papar seni budaya, warisan taraf antarabangsa
Bernama
Februari 26, 2024 09:45 MYT
Februari 26, 2024 09:45 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.3 juta bagi merancakkan program Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024), dengan memaparkan keaslian seni budaya dan warisan masyarakat tempatan menerusi penganjuran program bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, usaha itu menjadi pemacu utama dalam pembangunan sosioekonomi.
"Usaha ini akan digerakkan melalui penganjuran program bertaraf antarabangsa dengan adanya penglibatan serta kerjasama dari negara-negara Asia, Eropah, Timur Tengah dan sebagainya.
"Kerajaan negeri memberi fokus bagi menggerakkan usaha secara bersepadu ke arah kejayaan dalam merealisasikan hasrat supaya Kelantan menjadi destinasi utama pelancong di rantau ini," katanya pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri yakin, Kelantan mampu menjadi antara penyumbang terbesar kepada industri pelancongan negara khususnya melalui pembangunan ekonomi hiliran dan industri kreatif.
"Usaha ini berasaskan kepada keterampilan, kemahiran, bakat dan potensi individu, bagi melahirkan suatu ciptaan atau produk baru, termasuk industri kreatif, juga warisan budaya seperti batik serta kraftangan.
"Menerusi penglibatan dan kerjasama yang strategik daripada semua pemain industri termasuk rakyat Kelantan, kerajaan negeri optimis TMK 2024 dengan tema 'Keluarga, Makanan dan Festival' akan mencapai kejayaan sasaran 10 juta pelancong dan ke negeri ini," katanya. - BERNAMA
#Tahun Melawat Kelantan 2024
#TMK 2024
#Keluarga Makanan dan Festival
#Menteri Besar Mohd Nassuruddin