TMJ ucap takziah buat Syafiq Ahmad, seru orang ramai tidak sebar gambar kemalangan

Astro Awani
Disember 6, 2020 11:31 MYT
TUNKU ISMAIL: Saya menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar atau video berkaitan bagi menjaga sensitiviti dan perasaan Syafiq sekeluarga. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyampaikan ucapan takziah dan turut bersimpati di atas tragedi yang menimpa pemain JDT, Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan ahli keluarga dalam satu kemalangan, awal pagi tadi.
Menerusi satu entri di Facebook, pemilik JDT itu turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan demi menjaga sensitiviti Syafiq dan keluarganya.
"Kami sentiasa bersama anda, Syafiq. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
"Saya juga menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar atau video berkaitan bagi menjaga sensitiviti dan perasaan Syafiq sekeluarga," tulisnya.
Sumber Facebook hrhcrownprinceofjohor
Syafiq terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara, dekat Sungai Bakap.
Kemalangan ngeri itu mengorbankan bayi lelakinya yang berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, difahamkan ibu mertuanya, dan Titik Sukamti, 30-an.
Syafiq, 25 tahun, dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan tetapi isterinya, Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera parah.
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim #TMJ #JDT #Facebook #kemalangan #Syafiq Ahmad #PLUS #Lebuhraya Utara Selatan #cedera #bayi #sensitif #Muhammad Syafiq Ahmad
;