TMJ titah penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 dari HSI, HSA ke hospital swasta
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 15, 2021 22:22 MYT
Ogos 15, 2021 22:22 MYT
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar pengurusan situasi COVID-19 ditambah baik.
Baginda dalam hantaran media sosial bertitah penyumberan luar pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam dimulakan secara berperingkat.
"Pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan dipindahkan ke Hospital KPJ.
"Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad juga telah mengumumkan penambahan katil di wad COVID-19 HSI dan kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma akan ditambah baik," titahnya.
Baginda bertitah selepas mengadakan perjumpaan bersama Hasni, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, hari ini.
Pertemuan itu susulan tular mengenai keadaan pusat kuarantin pesakit COVID-19 di HSI, yang memperlihatkan pesakit COVID-19 ditempatkan di khemah berdekatan hospital berkenaan dan situasi bertambah buruk apabila keadaan hujan dengan khemas turut digenangi air.
Titah Tunku Ismail, satu inisiatif baru, Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (IPA-C) akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan.
"Objektif inisiatif ini adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dengan mengutamakan konsep tanggungjawab 'Collective Responsibility' dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep 'RISK Communication' yang berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan memperkukuhkan usaha-usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.
"Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi-agensi dan pihak berkuasa agar proses vaksinasi dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke PPV.
"Kita juga perlu beri tumpuan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaiknya," titah baginda.