TMJ sumbang 100 kerusi roda untuk PPV Johor
Bernama
Jun 5, 2021 17:10 MYT
Jun 5, 2021 17:10 MYT
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyumbang 100 buah kerusi roda untuk diagihkan kepada 46 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata daripada jumlah itu, 10 unit dikhususkan untuk PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini yang dijadikan sebagai PPV AstraZeneca bermula Selasa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, seramai 1,000 sukarelawan 'Southern Volunteers' akan digerakkan kesemua PPV di Johor minggu depan, bagi membantu kelancaran proses pemberian vaksin.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 120 sukarelawan ditugaskan di Persada Johor yang dijangka menerima 133,000 penerima vaksin.
"Sukarelawan di Persada Johor itu akan dibantu oleh Jabatan Belia dan Sukan melalui Program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dan setakat ini, seramai 460 sukarelawan sudah digerakkan ke 21 PPV untuk memberi bantuan," katanya epada pemberita selepas mendengar taklimat persediaan sukarelawan Southern Volunteers di Persada Johor di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan bakal penerima vaksin supaya tiba lebih awal setengah jam dari masa janji temu dijadualkan bagi mengelakkan kesesakan di PPV.
-- BERNAMA
#TMJ
#Tunku Mahkota Johor
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#kerusi roda
#PPV
#Johor
#Onn Hafiz
#COVID-19
#vaksin