TMJ mahu terus suarakan pandangan, sanggup dipenjara jika ia satu jenayah
Dania Zainuddin
Julai 30, 2016 23:53 MYT
Julai 30, 2016 23:53 MYT
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pemimpin di negara ini untuk memainkan peranan mereka dengan berkhidmat untuk masyarakat dengan penuh integriti, dedikasi dan berbakti.
Beliau mahu terus berjuang dan menyuarakan pandangan serta sanggup dipenjarakan sekiranya tindakan itu adalah satu jenayah.
"Apa sahaja pandangan yang diberikan bukanlah satu pandangan peribadi, bukan untuk menentang mana-mana pihak.
"Jika saya tidak dapat menegur pemimpin negara ini, apa tujuan saya berada di sini," kata Tunku Ismail dalam temubual ekslusif dalam rancangan Obviously Harith Iskander (OHI) pada Sabtu.
Tunku Ismail turut menegaskan ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan contoh terbaik baginya .
"Ayahanda dengan kebijaksanaannya, bagaimana baginda berinteraksi dan mengambil berat tentang rakyat telah memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama.
TONTON VIDEO PENUH OBVIOUSLY HARITH ISKANDER DI SINI
"Prinsip dan polisi baginda bukan untuk dirinya tetapi untuk anak-anak, cucu dan generasi seterusnya," kata Tunku Ismail.
Beliau berharap ahli kerabat diraja yang lain juga mengetahui peranan masing-masing, iaitu untuk menyuarakan pendapat bagi kebaikan masyarakat.
Baginya, kedudukan ahli kerabat diraja bukan untuk menentang mana-mana sistem, tetapi untuk berkongsi pandangan demi kebaikan masa depan negara.