TMJ lawat Markas Komando Angkatan Bersenjata Singapura
Sinar Harian
Julai 12, 2023 13:10 MYT
Julai 12, 2023 13:10 MYT
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluangkan masa melawat Markas Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Kem Pasir Ris, Singapura, pada Rabu.
Lawatan Tunku Ismail yang juga Pegawai Memerintah Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) itu diiringi Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura, Zaqy Mohamad dan dipersembahkan demonstrasi Close Quarters Battle (CQB).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Tunku Ismail turut dijemput untuk mempamerkan kemahiran aksi menembak dalam satu rutin latihan menembak tentera.
"Sesi lawatan tersebut diteruskan dengan demonstrasi Airborne dan mengelilingi kem bersama kenderaan Combat Jeep pasukan SAF," menurut kenyataan berkenaan.
Tunku Mahkota Johor itu dalam lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari dan berakhir pada Rabu atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan. - Sinar Harian