TMJ jangan cakap isu yang tidak difahaminya - Khairuddin
Astro Awani
April 28, 2019 10:55 MYT
April 28, 2019 10:55 MYT
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) diminta tidak terlalu ghairah dan hanya pandai bercakap isu yang tidak difahaminya.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, sikap Tunku Ismail yang tidak menghormati Perlembagaan menunjukkannya tidak faham asas Raja Berperlembagaan.
“Beliau tidak seharusnya terlalu ghairah dan bersikap biadab sekiranya benar-benar mengungkapkan kenyataan ‘Baik tukar Perdana Menteri’ baru-baru ini.
“Kalau TMJ ingat beliau hebat dalam politik; dipersilakan turun dari takhta dan menceburi bidang politik secara sepenuh masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Ketika kenderaan itu lalu, seorang individu melaungkan ’tukar Mora’ yang merujuk jurulatih JDT, Benjamin Mora.
Kenderaan yang membawa TMJ kemudian berhenti dan pewaris takhta kesultanan Johor itu bertitah; ‘Daripada tukar Mora baik tukar Perdana Menteri.’
Ia sekali gus menyebabkan hadirin di situ tertawa kerana TMJ sendiri adalah pemilik JDT.
Dalam pada itu, Khairuddin menambah, TMJ adalah seorang anak muda yang masih mentah dalam pengalaman politik.
“Seandainya TMJ tidak menghormati Perlembagaan negara bagaimana rakyat hendak menghormati beliau?” soalnya.
Dalam perkembangan berasingan, Khairuddin menegaskan, hasil kajian Merdeka Center yang mengatakan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Harapan (PH) merosot tidak selalunya tepat kerana jumlah responden dan 'sampling' mereka yang agak kecil.
“Untuk tujuan kaji selidik ini Merdeka Center hanya menggunakan seramai 1,204 orang responden saja.
“Tidak seperti pada waktu Deklarasi Rakyat dahulu; kita keluarkan sejumlah 2.5 juta borang dan setelah ditapis, kita memperolehi maklum balas dari seramai 1.8 juta responden.
“Bagi saya sejumlah responden 1,204 orang untuk mewakili pendapat 32 juta rakyat Malaysia agak tidak begitu 'representative’,” tegasnya.
Bagaimanapun Khairuddin mengakui, kerajaan PH kini mempunyai sedikit masalah persepsi yang agak negatif kerana segelintir dari masyarakat telah meletakkan bebanan harapan yang terlalu tinggi serta mengharap kerajaan PH dapat menyelesaikan semua masalah rakyat dengan sekelip mata.
“Segelintir dari rakyat masih tidak memahami kerosakan negara oleh kerajaan kleptokrasi dahulu terlalu teruk.
“Hutang negara meningkat hingga ke paras lebih kurang RM1.2 trilion. Khazanah kerajaan dan duit rakyat dirompak secara berleluasa dan begitu teruk oleh kerajaan UMNO yang menunjangi BN dahulu.
“Kini, rakyat harus bersyukur kerana sejak pengambilalihan tampuk pemerintahan negara; kerajaan PH telah berjaya membasmi rasuah, penyelewengan serta ketirisan secara besar-besaran,” katanya.
Malahan tambahnya, kerajaan PH telah berjaya memperbaiki keseluruhan institusi-institusi kerajaan secara terbaik mungkin.
“Institusi kerajaan tidak dinodai lagi seperti zaman pentadbiran kerajaan kleptokrasi. Kini, institusi-institusi kerajaan amat 'independent' tanpa dicengkam oleh pihak eksekutif lagi.
“Rakyat kena sabar sikit kerana bukan mudah untuk nak membetulkan kerosakan negara yang cukup teruk pada masa kini.
“Namun, kita tidak khuatir kerana gerak-kerja kerajaan PH berada di landasan yang cukup baik dan In Sha Allah seperti kata Tun Daim Zainuddin, keadaan negara akan lebih stabil serta mantap dalam masa lima ke enam bulan lagi,” jelasnya.
Tambahnya, ‘rating' carta populariti Tun Dr Mahathir Mohamad yang jatuh ke paras 46 peratus dari 71 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas juga meragukan.
“Semua orang tahu keikhlasan Tun Dr Mahathir yang bekerja siang dan malam pada usia 93 tahun untuk membetulkan semula negara yang dirosakkan secara begitu teruk oleh kerajaan UMNO dan BN dahulu.
“Apapun laporan dari Merdeka Center yang amat disangsikan saya harus juga dijadikan pedoman untuk keseluruhan pemimpin-pemimpin PH muhasabah diri ke arah untuk memberi kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada keseluruhan rakyat di tanahair kita,” katanya.
#Barisan Nasional
#bola sepak
#Deklarasi Rakyat
#JDT
#Khazanah
#Mahathir Mohamad
#Merdeka
#Perdana Menteri
#politik
#Rasuah
#Sultan Ibrahim
#TMJ
#Tunku Ismail
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#UMNO