TMJ gesa semua pihak guna platform aduan awam disediakan kerajaan negeri

Bernama
Februari 13, 2019 14:07 MYT
TUNKU ISMAIL: Saya gembira saya berpeluang mempengaruhi rakyat dengan nilai-nilai positif berkenaan Johor.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua pihak agar mengguna platform aduan awam yang disediakan Kerajaan Negeri Johor bagi membantu menyelesaikan aduan rakyat di negeri ini.
Menerusi catatan dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail bertitah platform itu adalah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negeri ini.
Dengan capaian laman web aduan awam itu http://johor.spab.gov.my/eApps/system/index.do, Tunku Ismail menyatakan antara sebab mengapa baginda aktif dalam media sosial adalah untuk memudahkan interaksi dengan rakyat tanpa sebarang protokol.
"Saya gembira saya berpeluang mempengaruhi rakyat dengan nilai-nilai positif berkenaan Johor dan dari semasa ke semasa, mengingatkan rakyat betapa pentingnya untuk kita kekal muafakat dalam memastikan negeri ini terus maju ke hadapan," titah Tunku Ismail menerusi catatan berkenaan.
Menurut Tunku Ismail, baginda juga mengambil maklum aduan yang diutarakan kepada baginda melalui akaun media sosial merangkumi pelbagai aspek kehidupan daripada isu perumahan, bantuan kebajikan, pendidikan atau pun infrastruktur.
"Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk bantu sesiapa yang memerlukan," titah baginda.
-- BERNAMA
#Bangsa Johor #kerajaan negeri #perkhidmatan awam #platform aduan #rakyat johor #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;