TMJ berkenan cari penyelesaian tetap masalah banjir di Johor
Bernama
Januari 12, 2022 17:45 MYT
Januari 12, 2022 17:45 MYT
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan untuk mencari penyelesaian tetap terhadap masalah banjir yang sering melanda negeri ini.
Baginda bertitah antara perkara penting perlu diambil perhatian adalah sistem saliran dan perparitan yang mampu menampung kapasiti air hujan yang tinggi, pengurusan sungai efektif serta kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi bencana.
"Bencana banjir ini merupakan masalah yang berlaku hampir setiap tahun.
"Walaupun ada penambahbaikan dalam usaha tebatan banjir sejak peristiwa 2006, tetapi saya berhasrat untuk mencari penyelesaian tetap kepada masalah banjir di Johor," titah Tunku Ismail menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda hari ini.
Tunku Ismail berpendapat bahawa langkah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, susulan itu baginda akan menganjurkan program pembersihan sungai di Johor dan program khas pada Februari ini.
"Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan sungai-sungai kita.
"Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) dan sekeluarga akan terus berusaha bersama pihak kerajaan dalam mencari penyelesaian tetap agar rakyat Johor tidak perlu berdepan dengan bencana banjir lagi," titah baginda.
Terdahulu, baginda berkenan bertemu Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman dan pakar-pakar pengurusan air dan sistem saliran air bagi mendengar taklimat mengenai inisiatif dan usaha-usaha untuk membaiki penebatan banjir di Johor.
Situasi banjir di Johor kini semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,044 orang setakat 4 petang, berbanding 1,227 orang pagi tadi dengan 23 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.
-- BERNAMA