TMJ adakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas COVID-19 negeri Johor

Bernama
September 17, 2021 23:51 MYT
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas COVID-19 peringkat negeri Johor, hari ini. - Foto Facebook/HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas (Special Task Force COVID-19) peringkat negeri Johor, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R. Vidyananthan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman Rabu serta pakar-pakar kesihatan dan pengurusan pandemik.
Baginda bertitah jawatankuasa khas berkenaan, berperanan untuk memantau dan memperbaiki proses yang digunakan bagi sistem menyaring, mengasingkan, mengawasi, dan merawat pesakit COVID-19, agar keadaan wabak adalah sentiasa dalam kawalan.
Titah baginda pengesanan kontak perlu dipercepatkan supaya ia dilakukan dalam jangka masa 24 hingga 48 jam, dan kadar vaksinasi juga perlu dipertingkatkan.
"Johor perlu bersedia untuk transisi dari situasi pandemik kepada endemik.
"Saya yakin dengan para anggota 'Task Force' ini yang dipilih secara inklusif dan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pakar-pakar dari universiti, swasta, ATM, dan NGO, Johor akan dapat melawan wabak COVID-19 dengan lebih berkesan dan kes positif akan mula menurun melalui langkah kesihatan awam yang efektif dan penggunaan teknologi terkini," titah baginda menerusi akaun Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor.
-- BERNAMA
#TMJ #mesyuarat pertama #jawatankuasa khas #Special Task Force COVID-19 #Tunku Mahkota Johor #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #COVID-19
;