TMI 2023: Singapura, Asia Timur penyumbang bilangan pelancong ke Ipoh

Aida Aziz
Mei 31, 2023 09:30 MYT
Datuk Rumaizi Baharin menyifatkan Tahun Melawat Ipoh 2023 yang hampir memasuki enam bulan pelaksanaannya sebagai memberangsangkan. - Astrp AWANI
IPOH: Singapura dan negara Asia Timur merupakan antara yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada bilangan pelancong ke bandar raya Ipoh, khususnya sempena Tahun Melawat Ipoh (TMI) 2023.
Bandar raya yang terkenal dengan bangunan warisan serta geopark ini juga sedang berusaha untuk menarik sebilangan pelancong dari China dan Eropah Barat.
Keyakinan itu disuarakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang menyifatkan TMI yang hampir memasuki enam bulan pelaksanaannya sebagai memberangsangkan.
"Sambutan TMI setakat ini baik, banyak program yang telah dan akan kita laksanakan sepanjang tahun ini termasuk program kesenian antarabangsa pada awal Jun nanti.
"Setakat ini dua negara menerusi dua bandar raya iaitu Medan, Indonesia dan Nanning, China setuju untuk sertainya. Termasuk penglibatan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak.
"Setakat ini, selain pengunjung tempatan boleh dikatakan ramai pelancong dari Singapura, kawasan Asia Timur seperti Taiwan, Hong Kong dan sekarang kita sasarkan untuk tembusi pasaran China.
"Setelah itu baru kita lihat potensi bagi Eropah Barat terutama dari United Kingdom, Perancis dan Switzerland untuk rakyatnya datang ke sini (Ipoh)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan TMI 2023 setakat ini dan aliran kemasukan pengunjung ke Ipoh.
Ia juga akan menjadi kesinambungan kepada Tahun Melawat Perak (TMP) tahun depan.
Terdahulu, Rumaizi ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Lantikan dan Taklimat Kepada Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat penambahbaikan dari sudut kemudahan pengangkutan khususnya Keretapi Tanah Melayu (KTM), beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan.
"Saya sudah berjumpa dengan wakil pihak KTM dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), mereka jelaskan mulai Jun ini akan melantik pasukan pembersihan di stesen keretapi.
"Difahamkan juga pada Julai, akan ada sambungan perjalanan keretapi dari utara iaitu Padang Besar terus ke Ipoh," katanya lagi.
Katanya lagi, setiap pemain industri perlu memainkan peranan dan inisiatif mengikut kapasiti serta kemampuan masing-masing dalam membantu menjayakan program TMI 2023.
"Sebagai contoh, hotel mungkin boleh menawarkan pakej menarik bagi tempoh tertentu dalam TMI 2023.
"Pihak pengangkutan mungkin boleh menawarkan tambang istimewa atau pakej tertentu bagi pelancong yang ingin menggunakan perkhidmatan pengangkutan mereka," kata beliau lagi.
#bandar raya Ipoh #Tahun Melawat Ipoh #pelancong #Datuk Bandar Ipoh
;