TMB100 2024: Baling cemerlang sebagai destinasi ekopelancongan antarabangsa
Astro Awani
Oktober 27, 2024 21:56 MYT
Oktober 27, 2024 21:56 MYT
KUALA LUMPUR: Acara The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2024 melabuhkan tirainya dengan gemilang, sekali lagi mengukuhkan Baling sebagai destinasi ekopelancongan unggul di Malaysia.
Edisi kali ini bukan sahaja menarik perhatian pelari denai tempatan, tetapi turut mendapat sambutan antarabangsa dengan penyertaan peserta dari Indonesia, Singapura, Argentina, Jerman, Filipina, Rusia, Sepanyol, dan Vietnam.
Acara tahunan yang dianjurkan oleh 10 Senses (M) Sdn Bhd itu menyaksikan peningkatan jumlah peserta, dari 800 peserta pada edisi pertama kepada lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia untuk edisi ke-2.
Empat kategori larian disediakan iaitu 100 kilometer (km), 50km, 25km dan 10km yang membolehkan pelari dari pelbagai tahap menikmati keindahan alam semula jadi Baling.
Menurut pemenang kategori lelaki terbuka 100km, Muhammad Asyraf Ghazali, laluan TMB100 mungkin tidak begitu teknikal, namun persiapan fizikal dan mental adalah kunci kejayaan.
"Laluan 100km TMB100 tidak begitu teknikal, namun persiapan fizikal dan peralatan perlu rapi sebelum perlumbaan. Sentiasa berwaspada dan peka dengan lokasi kawasan rehat ‘checkpoint’ yang disediakan oleh penganjur bagi merancang pengambilan nutrisi dengan sebaiknya.
"Laluan yang ditanda rapi serta kehadiran marshal di sepanjang laluan turut membantu melancarkan larian,” katanya dalam kenyatan di sini, pada Ahad.
Para peserta dibawa merentasi landskap menakjubkan di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling, melalui sawah padi, dusun buah-buahan, Gua Tembus, serta sungai Lubuk Pedati. Laluan ini menawarkan pengalaman larian yang unik dan sukar didapati di tempat lain.
Sementara itu, pelari antarabangsa kategori 100km dari Rusia, Evgenii Makarov, turut berkongsi pengalaman menariknya.
"Cuaca sangat baik, dengan gerimis pada awal permulaan yang menjadikan larian lebih mudah kerana suhu yang agak dingin.
"Ketika matahari terbit, kawasan diliputi kabus, menonjolkan pemandangan Gunung Baling yang sangat indah. Secara keseluruhan, pengalaman berada di Baling adalah sesuatu yang sangat menarik," ujarnya.
Penganjur TMB100 turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Kedah dan Majlis Daerah Baling atas sokongan yang diberikan. Lebih 300 krew dari komuniti setempat juga terlibat dalam menjayakan acara ini, bersama-sama dengan penaja yang menyumbang kepada kejayaan TMB100 2025.
Seiring dengan kempen Visit Kedah 2025, TMB100 bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi Baling yang masih belum banyak diterokai.
Kehadiran peserta dari dalam dan luar negara turut merancakkan ekonomi tempatan, membuka peluang kepada perniagaan kecil dan masyarakat setempat untuk berkembang.
Selain itu, acara ini turut memperkenal produk pelancongan, penginapan, dan makanan tempatan yang unik kepada pengunjung, sekali gus meningkatkan daya tarikan Baling sebagai destinasi pelancongan.