TM mohon maaf atas kesulitan, perjelas isu pakej 500 Mbps

Astro Awani
September 20, 2020 14:24 MYT
TM menjelaskan tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps.
Telekom Malaysia Berhad (TM) menjelaskan tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps.
Jelasnya, konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukan 200Mbps seperti yang tertera dalam versi soalan-soalan Lazim FAQ, portal unifi dan risalah sebelum ini.
"Pembetulan mengenainya telah dibuat bagi kesilapan kelajuan muat naik untuk pakej 500Mbps yang tertera di soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah pada 2 September 2020," kata TM dalam satu kenyataan.
BACA: MCMC mulakan siasatan terhadap pakej Unifi TM
TM juga berkata, semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan atau “Try Me” memandangkan pakej berkenaan baru sahaja diperkenalkan kurang sebulan lalu iaitu pada 24 Ogos 2020.
"Oleh itu, para pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.
"Kami akan menghubungi para pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kesilapan tersebut dan pilihan yang mereka ada, bermula Isnin, 21 September 2020," kata kenyataan lagi.
Justeru, TM memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan memberi jaminan akan mengemas kini maklumat yang tepat.
"Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah dikemas kini dengan maklumat yang betul.
"Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi wakil khidmat pelanggan kami di pusat panggilan 100, TMpoint di seluruh negara atau ejen-ejen maya melalui aplikasi myunifi," ujar kenyataan.
#500Mbps #konfigurasi kelajuan muat naik #Lazim FAQ #Malaysia #MCMC #Telekom Malaysia #TM #TMpoint #Try Me #Unifi
;