TM menggerakkan pelancongan pintar melalui 5G
Bernama
Januari 12, 2020 17:29 MYT
Januari 12, 2020 17:29 MYT
Aplikasi pintar 'My Smart City' yang dibangunkan Telekom Malaysia Berhad (TM), membolehkan pengunjung atau pelancong yang berada tiba di Langkawi dengan mudah mendapatkan informasi diperlukan berkaitan pulau legenda itu.
Ini kerana sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), anda berpeluang mencuba kemudahan Realiti Maya (VR) 8K UNESCO Global Geopark Langkawi yang disediakan TM, bagi melihat sekali imbas lokasi-lokasi menarik, yang boleh dilawati pengunjung.
Aplikasi My Smart City dan VR 8K UNESCO Global Geopark Langkawi ini merupakan tambahan kepada 'Smart Retail Analytics' yang telah disediakan untuk demonstrasi 5G (5GDP) yang telah dilaksanakan oleh TM di LIA sejak Oktober.
Pengurus Jenama dan Komunikasi TM, Raja Nurwahida Adleen Raj Munir Shah berkata, tiga kes penggunaan 5GDP tersebut bertujuan untuk mempromosikan pelancongan pintar, melalui kerjasama TM, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tourism Malaysia Langkawi.
"Aplikasi My Smart City terdiri daripada beberapa ciri dan servis seperti perancang perjalanan, tempat letak kenderaan, arah kiblat, perkhidmatan dalam bandar dan butang kecemasan, yang membolehkan pelancong merancang perjalanan mereka dan meneroka tempat-tempat menarik dan juga maklumat mengenai apa yang berlaku di sekitar Langkawi.
"VR 8K UNESCO Global Geopark Langkawi pula memaparkan geopark dan pulau itu dalam bentuk video berkualiti 8K yang membolehkan seseorang itu alami keunikan lokasi-lokasi ini. Ini adalah kandungan UNESCO Global Geopark pertama dibuat dalam bentuk realiti maya 8K," katanya kepada Bernama dan menambah, TM kini mengerakkan pelancongan di Langkawi melalui pelancongan pintar menggunakan 5G.
Sementara itu Raja Nurwahida berkata, Smart Retail Analytics pula satu aplikasi yang penting, kerana ia dapat memberikan data dan maklumat kepada LADA bagaimana pengalaman yang dirasai pengunjung yang datang ke Langkawi.
"Di reruai TM di LIA ini turut diletakkan Smart Retail Analytics yang akan 'capture' beberapa perkara seperti perasan gembira atau sedih, jantina, malahan berapa kali individu tersebut lalu di depan booth ini. Data yang dikumpul ini, dapat beri maklumat berapa ramai orang keluar masuk, mereka seronok atau tidak datang ke Langkawi, dan sebagainya," katanya.
Sehingga kini TM telahpun melaksanakan 11 kes penggunaan 5G di Langkawi dan membuka sebuah Pusat Pengawalan Operasi Bersepadu yang juga dikenali sebagai '5G Command Centre' (5GCC).
Untuk 5GDP di Langkawi TM telah melaksanakan jumlah kes penggunaan paling tinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang turut serta, dan kesemua rangkaian 5G dan kes penggunaan ini boleh dilihat melalui papan pemuka di 5GCC setiap masa oleh pakar dari TM, yang terdiri daripada pasukan teknikal berkelayakan.
Syarikat gergasi telekomunikasi ini berkata, terdapat banyak faedah 5G yang didapati berdasarkan kepada 11 kes penggunaan yang telah dilaksanakan itu, seperti pengurangan masa pendam; aplikasi dan data masa nyata; keselamatan orang ramai; lebih pintar dan trafik lebih cekap, tempat letak kenderaan dan kenderaan; sistem pengurusan dan pengawasan air; peningkatan kualiti servis; dan peningkatan penjualan dan pengalaman layanan baik.
-- BERNAMA
#5G
#geopark
#LADA
#Langkawi
#Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi
#my smart city
#pelancong
#pulau legenda
#realiti maya
#Telekom Malaysia Berhad
#TM