TLDM usir bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara
Afiezy Azaman
November 17, 2020 10:58 MYT
November 17, 2020 10:58 MYT
KUALA LUMPUR: Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir keluar sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh ke perairan negara kira-kira 25 batu nautika tenggara Pulau Perak, pada petang Isnin.
Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut dan Op Pejarak mengesan bot nelayan asing tersebut semasa melakukan rondaan di Selat Melaka Utara.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan tidak memiliki nombor pendaftaran dan terdapat seramai lima orang awak-awak warga Indonesia di atasnya.
"Hanya seorang sahaja memiliki dokumen pengenalan diri warga Indonesia manakala selebihnya tiada.
"Selain itu, terdapat muatan terdiri daripada ikan pelbagai jenis dengan berat kira-kira 40 kilogram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, bot nelayan itu diiringi keluar dari perairan negara bagi memastikan pencerobohan tidak berlaku lagi.
"TLDM sentiasa memperkasa Op Benteng dengan kehadirian kapal TLDM yang beroperasi 24 jam bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan mengelakkan penularan pandemik COVID-19," jelasnya.
#TLDM
#Indonesia
#pati
#nelayan
#bot
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#KD Laksamana Tan Pusmah
#kapal
#nelayan asing
#usir
#Op Benteng Laut
#Op PEJARAK
#Selat Melaka Utara
#dokumen pengenalan diri
#ikan
#awak-awak
#pencerobohan