TLDM tawar Tentera Laut China singgah di Pelabuhan Kota Kinabalu
Bernama
November 10, 2015 08:00 MYT
November 10, 2015 08:00 MYT
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menawarkan kepada China untuk menjadikan Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi persinggahan bagi mengukuhkan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata perkara itu dinyatakan sewaktu kunjungan delegasi Tentera Laut China ke atasnya pada Isnin.
"Sebelum ini pelabuhan Kota Kinabalu juga telah menerima lawatan dari negara Amerika Syarikat dan Perancis.
"Penambahbaikan hubungan pertahanan antara TLDM dan Tentera Laut China merupakan langkah bagi mengatasi permasalahan dan isu berkaitan pertikaian persempadanan di lapangan," katanya kepada pemberita di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan rasmi pertama kali, Komander People's Liberation Army Navy (PLAN) Laksamana Wu Shengli bersama 11 orang pegawai kanannya yang melawat negara ini selama tiga hari sehingga Rabu ini.
Delegasi Tentera Laut China itu antara lain akan mengunjungi Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah Klang termasuk lawatan ke Kapal Diraja (KD) Selangor.
Abdul Aziz berkata tindakan itu sehaluan dengan hasrat kerajaan untuk mengadaptasi jalan penyelesaian yang terbaik demi menjaga keselamatan serta keamanan perairan Laut China Selatan.
"Ini juga adalah peluang yang baik kepada kita kerana kita boleh mempelajari kaedah mereka beroperasi dan mengenali kapal selam yang akan dibawa ke sini. Kita juga boleh mempelajari penguatkuasaan kapal selam luar negara apabila berlabuh di sini," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya menangani sebarang tuntutan di kawasan perairan dengan cara yang baik untuk memperoleh penyelesaian yang terbaik dengan memahami kehendak konflik dengan negara terlibat.
Mengulas mengenai cadangan penggunaan khidmat komunikasi hotline, beliau berkata TLDM bersedia untuk melaksanakan perkara itu tetapi melihat penggunaan telefon sebagai alat komunikasi dengan negara luar kurang sesuai kerana faktor penguatkuasaan Bahasa Inggeris.
"Jadi kita cadangkan komunikasi antara pelabuhan negara ini dengan negara luar di Markas Wilayah 2 dilakukan secara terus iaitu talian terus iaitu dengan menghantar teks mesej melalui faksimili atau e-mel bagi melaporkan sebarang masalah supaya mereka mempunyai masa untuk memberikan respons," katanya.
Selepas kunjungan hormat delegasi tentera laut China itu, diadakan pula perbarisan Kawalan Kehormatan Utama sempena persaraan Abdul Aziz pada 18 November ini, di Dataran Wisma Pertahanan.
Sejumlah 106 pegawai lain-lain pangkat dan anggota terlibat dalam perbarisan itu.
Abdul Aziz mula menjawat jawatan Panglima Tentera Laut pada 1 April 2008.