TLDM siasat insiden bot tempur berlanggar sewaktu demonstrasi

Aida Aziz
Disember 30, 2022 11:10 MYT
Sebuah bot tempur TLDM hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah ketika demonstrasi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Khamis. -Twitter Bernama
IPOH: Lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pelangggaran bot tempur ketika melakukan demonstrasi manuvra sempena Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22), di sini, semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, sebuah bot tempur Tentera Laut Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah.
Katanya, insiden itu berlaku ketika melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut sempena HTA22.
"Insiden tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1 m.
"Manakala bot tempur kemek di bahagian haluan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, insiden tersebut tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara yang telah ditetapkan.
Terdahulu media melaporkan, orang ramai berpeluang melihat lebih dekat kapal-kapal perang TLDM sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis itu juga memberi peluang kepada masyarakat khususnya ibu bapa mengisi masa anak-anak semasa bercuti.
Pelbagai aktiviti yang dianjurkan pada hari itu juga bertujuan mendekatkan Navy People dengan masyarakat.
#KD Laksamana Tan Pusmah #Pangkalan TLDM Lumut #Hari Terbuka Armada #pelanggaran bot tempur
;